
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tidak mahu mendengar sebarang penglibatan nazir dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau terlibat dalam politik kepartian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat.
Sultan Sharafuddin bertitah, larangan itu termasuk memegang apa-apa jawatan politik dalam masa sama dilantik sebagai nazir atau imam masjid dan surau kerana institusi itu perlu kekal sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung disebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing,” titah baginda.
Titah itu disampaikan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 nazir dan imam masjid seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.
Menurut Sultan Sharafuddin, masjid dan surau tidak boleh dijadikan gelanggang politik, medan meraih sokongan atau platform kepentingan peribadi yang akhirnya membawa kepada perpecahan masyarakat Islam.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, jawatan nazir dan imam bukanlah kedudukan untuk direbut, sebaliknya satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti, akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan pengurusan masjid dan surau di negeri itu mengelakkan budaya fitnah dan penyebaran tohmahan dalam kalangan ahli kariah kerana perkara itu boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.
“Beta amat memandang serius budaya fitnah-memfitnah dan menyebarkan tohmahan terhadap mana-mana pihak terutama melalui media sosial,” titah Sultan Selangor.







