
KUCHING – Dalam usaha mengukuhkan kedaulatan teknologi dan daya saing ekonomi di rantau Asia Pasifik, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan keperluan mendesak bagi pembentukan kesatuan ASEAN yang lebih utuh dalam sektor aeroangkasa dan angkasa baharu.
Beliau menyifatkan industri tersebut kini telah mengalami anjakan paradigma, daripada bersifat pelengkap atau pasaran khusus (niche) kepada pemacu strategik nasional yang bakal mencorakkan hala tuju ekonomi negara dan serantau untuk dekad mendatang.
“Kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan, dan pelabur serantau adalah prasyarat utama dalam membina ekosistem aeroangkasa yang bukan sahaja kompetitif, malah mampan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 yang bertemakan ‘Sarawak’s Ascent: Shaping the Future of Aerospace in the Asia Pacific’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Menggariskan hala tuju negeri, Abang Johari memaklumkan bahawa Sarawak telah mengintegrasikan sektor aeroangkasa sebagai salah satu tonggak transformasi ekonomi jangka panjang di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Pendekatan strategik ini disokong oleh tadbir urus yang kukuh menerusi penubuhan Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak, yang berperanan menyelaras pembinaan kapasiti industri secara sistemik.
Di peringkat pembangunan bakat, tumpuan diberikan kepada pemerkasaan institusi pendidikan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar.
“Kita memberi fokus khusus kepada pembangunan modal insan melalui Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di i-CATS University College. Ini adalah langkah kritikal bagi memastikan rantaian nilai industri disokong sepenuhnya oleh tenaga mahir tempatan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyentuh mengenai potensi kemasukan praktikal ke dalam segmen industri bernilai tinggi. Ini termasuk pembangunan keupayaan dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.
Selain itu, Sarawak kini sedang meneroka adaptasi teknologi satelit kecil yang lebih kos efektif seperti CubeSat. Teknologi ini dilihat sebagai instrumen penting untuk aplikasi pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana yang lebih efisien, serta pengawasan sumber asli negeri secara optimum.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







