PUTRAJAYA – Bekas hakim serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan antara calon paling layak dipertimbangkan dalam mengisi jawatan Ketua Pesuruhjaya baharu buat agensi terbabit.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, bekas hakim memiliki kelebihan dari segi kefahaman mendalam terhadap undang-undang, prinsip keadilan serta integriti selain lazimnya bebas daripada pengaruh politik.
Menurut beliau, golongan itu turut berupaya membuat keputusan secara objektif dan berprinsip memandangkan SPRM institusi yang perlu diyakini sepenuhnya oleh rakyat, bukan hanha sekadar berfungsi sebagai agensi penyiasatan
“Pegawai kanan SPRM pula memiliki pengalaman langsung dalam operasi siasatan dan penguatkuasaan rasuah. Mereka memahami struktur dalaman, risiko serta cabaran sebenar selain mampu memastikan kesinambungan dan kestabilan organisasi,” ujarnya.
“Bagaimanapun, keutamaan perlu diberikan kepada individu yang tidak mempunyai sebarang kaitan politik serta memiliki rekod integriti yang bersih selain berani dan tegas dalam membuat keputusan termasuk terhadap pihak berkepentingan tinggi.
“Calon juga perlu dihormati oleh rakan sekerja dan komuniti penguatkuasaan, di samping perlu mempunyai keyakinan awam dan dilihat benar-benar neutral, bukan sekadar neutral,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menentukan pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menerajui suruhanjaya itu.
Baginda bertitah, kedudukan berkenaan amat signifikan dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara efektif sebagai institusi utama negara dalam usaha memerangi rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
Pada masa sama, baginda menegaskan isu pelantikan itu tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Jais berpendapat bahawa keperluan buat semua pihak berhenti menjadikan SPRM alat naratif politik, sebaliknya diperkasakan sebagai institusi yang benar-benar bebas, berintegriti dan digeruni perasuah.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa perkara berkaitan pelantikan jawatan utama SPRM itu ini tidak wajar dipolitikkan.

“Isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan soal individu semata-mata tetapi soal kredibiliti institusi. Seperti dizahirkan dalam kenyataan rasmi Istana Negara, pelantikan ini adalah satu jawatan amat penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan dan bebas serta tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, sebarang keputusan untuk tidak menyambung kontrak atau membuat pelantikan baharu mesti berasaskan integriti, rekod prestasi, dan keyakinan awam, bukannya tekanan politik atau persepsi semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Jais berkata, sekiranya wujud keraguan serius terhadap integriti kepimpinan, mekanisme semakan bebas dan telus yang sedia ada perlu menunjukkan bahawa ianya sedang berfungsi.
“Pelantikan baharu (jika berlaku) mesti melalui proses yang lebih terbuka, berasaskan merit dan boleh dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.Reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pelantikan bebas bagi Ketua SPRM perlu dipercepatkan,” katanya.
Sementara itu, berhubung dakwaan isu pemilikan saham yang pernah dikaitkan dengan individu yang mengetuai SPRM, Jais berkata, proses keadilan yang sudah dilaksana perlu diumumkan untuk memberi keadilan kepada beliau dan semua pihak yang sedang memberi perhatian kepada kes ini.
“Dalam konteks badan penguatkuasaan, sebarang bayangan konflik kepentingan atau kontroversi, walaupun belum dibuktikan di mahkamah, boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan sistem,” katanya.



