SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
Baginda menegaskan, ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda pada setiap perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan.
“Beta berdoa kepada Allah SWT supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan EXCO kerajaan negeri.
“Beta berasa amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun lepas,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15, di sini hari ini.
Turut berangkat, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, manakala Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak hadir ke istiadat berkenaan.
Dalam perkembangan lain, baginda bertitah Negeri Sembilan mencatat sejarah tersendiri sebagai negeri pertama yang berjaya mencapai status sifar miskin tegar secara konsisten bermula 2023 hingga tahun ini.
Menurut baginda, pencapaian itu hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bersasar serta pemantauan rapi apabila seramai 3,530 ketua isi rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar sejak penghujung 2023.
Pada 2024, seramai 1,697 KIR berjaya keluar daripada kategori berkenaan, diikuti 2,275 KIR pada tahun lalu dan 1,106 KIR setakat 30 Januari tahun ini, sekali gus memastikan negeri itu mengekalkan status sifar miskin tegar bagi empat tahun berturut-turut.
Tuanku Muhriz menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar tidak boleh dilihat sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap maruah dan kesejahteraan rakyat.
“Setiap KIR yang berjaya dibantu melambangkan pemulihan masa depan sebuah keluarga. Sehubungan itu, beta mahu usaha ini diteruskan dengan lebih agresif, berfokus dan berintegriti tanpa ada yang tercicir atau terlepas daripada radar tindakan.
“Ia bagi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai contoh negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal malah unggul dalam menjamin kesejahteraan sosial rakyatnya,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian sektor pendidikan negeri yang terus menerima pengiktirafan di pelbagai peringkat.
“Beta berbesar hati dengan pencapaian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun lalu yang mencatatkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.33 mata. Kecemerlangan ini dizahirkan apabila Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa, Jempol serta Maahad Ahmadi mengekalkan GPN cemerlang 1.81 mata,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ampuan Najihah yang mengharumkan nama negeri menerusi penyertaan dalam Minggu Negeri Sembilan di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun.
Menyentuh sektor pelancongan, baginda bertitah pengisytiharan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor berkenaan sebagai pemacu ekonomi mampan berasaskan pelancongan pantai, ekopelancongan dan Adat Perpatih.
“Setelah 27 tahun tidak dilaksanakan TMNS dan mengambil kira peningkatan kehadiran pelancong yang amat memberangsangkan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, beta menyeru agar inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya diteruskan secara konsisten dan berkesinambungan pada tahun seterusnya,” titah baginda.
Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda turut menegaskan kepentingan memperkukuh ekonomi serta ilmu pengetahuan umat Islam selain menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penyebaran syiar Islam.




