
KUANTAN – Seorang lelaki warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika memohon kad pengenalan untuk seorang kanak-kanak.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdah Said, 65, dan memerintahkan dia dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdah didakwa memberikan maklumat palsu dalam butiran material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter JPN Negeri Pahang dalam daerah Kuantan pada jam 9.49 pagi, 28 September 2012.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Abdah yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan dia sudah berusia, tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Yusaini Yunan memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan itu bersifat serius kerana membabitkan dokumen rasmi negara.






