
KOTA KINABALU – Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei mengecam keras tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong yang membuat laporan polis serta mengeluarkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap projek pelaburan kilang keluli Esteel di Sipitang.
Chan menyifatkan tindakan itu sebagai melampau, tidak berasas dan berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Sabah.
“Tindakan beliau yang membuat laporan polis terhadap pelabur asing bukan sahaja melampau dan tidak masuk akal, malah mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelaburan yang diyakini,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Jelasnya, syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd telah membuat bayaran deposit tanah sebanyak RM35 juta kepada pihak pengurusan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) iaitu satu jumlah yang cukup besar.
“Kalau benar syarikat ini hanyalah ‘kosong’ seperti yang didakwa, adakah mereka sanggup membayar puluhan juta ringgit secara tunai?
“Fakta ini dengan sendirinya sudah cukup untuk menepis segala tuduhan liar dan fitnah yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, Calvin hanya memilih fakta yang sesuai dengan naratif politiknya dan langsung tidak mengambil kira bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini pernah mengenakan moratorium terhadap kelulusan baharu industri keluli iaitu satu langkah Kerajaan Persekutuan bagi mengawal lebihan kapasiti dan mengelak risiko lambakan, demi melindungi industri tempatan.
“Tuduhan beliau bukan sahaja memperlekeh dasar awam yang sah tetapi juga memperlihatkan kelemahan pemahaman terhadap proses perindustrian negara,” ujarnya.
Chan menekankan bahawa projek pelaburan Esteel telah melalui pelbagai proses kelulusan ketat oleh agensi Persekutuan dan Negeri, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Alam Sekitar (DoE), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai lagi pihak berautoriti.
“Jadi, apabila Calvin mempersoalkan kesahihan projek ini, ia seolah-olah mempertikai profesionalisme penjawat awam dan integriti seluruh sistem pentadbiran negara,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Calvin tidak memilih untuk membangkitkan isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal berlangsung, sebaliknya memilih untuk membuat laporan polis dan mencipta persepsi menerusi media.
Justeru itu, Chan mencabar Calvin untuk membawa isu ini dalam sidang DUN secara terbuka.
“Maka saya cabar beliau bawa is ini ke dalam Dewan dan berdepan secara terbuka. Jangan bersembunyi di sebalik laporan polis.
“Kalau beliau rasa takut debat dalam Dewan, mari kita buka pentas debat awam kita lawan hujah, bukan lawan persepsi. Biar rakyat Sabah nilai sendir,” katanya.
Tambahnya, DAPSY Sabah sentiasa terbuka terhadap sebarang bentuk semak dan imbang, tetapi ia mesti dibuat secara berfakta dan bertanggungjawab.
“Kita alu-alukan semakan terhadap mana-mana projek pelaburan, tetapi jangan sesekali menjadikan isu pelaburan sebagai alat politik murahan,” ujarnya.





