
KUCHING – Khabar angin yang tular di media sosial mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang mempertimbangkan untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ditegaskan sebagai berita palsu dan rekaan semata-mata.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyifatkan penyebaran maklumat menerusi platform TikTok dan Facebook itu sebagai ‘cerita dongeng’ ciptaan pihak tertentu yang berniat jahat.
Menurutnya, tidak wujud sebarang bukti yang menunjukkan Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian secara langsung mahupun tidak.
“Hantaran di media sosial tersebut secara jelasnya bersifat fitnah politik yang remeh dan cetek.
“Ia sengaja digembar-gemburkan dengan tujuan mencetuskan buruk sangka dan keresahan antara masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas hantaran yang tular tersebut.
Beliau menegaskan, kepimpinan politik kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak pernah berniat atau melakukan sebarang tindakan untuk mencampuri urusan politik mahupun pentadbiran negeri-negeri lain di Malaysia.
Jelasnya lagi, tumpuan penuh kerajaan Sarawak ketika ini adalah untuk memacu pembangunan negeri merangkumi aspek infrastruktur, ekonomi dan kebajikan masyarakat bersandarkan polisi pentadbiran serta agenda pelaksanaan yang pragmatik.
“Buktinya, ketika ekonomi dunia sedang terjejas akibat pergolakan di Timur Tengah, Premier Sarawak baru sahaja mengumumkan bantuan kewangan tambahan untuk masyarakat di negeri ini yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Slogan ‘Sarawak First’ bukan sekadar bermakna mempertahankan kepentingan dan hak Sarawak. Jiwa dan semangat slogan itu menterjemahkan kesungguhan kerajaan untuk membina kemajuan menerusi ekosistem ekonomi moden dan infrastruktur yang selesa,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya dana dan pendapatan kerajaan terus bertambah, rakyat Sarawak secara langsung akan turut menikmati pelbagai kemudahan serta bantuan berterusan.
Dalam pada itu, Abdullah menyatakan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan mana-mana negeri demi membina kesejahteraan negara yang mampan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa sentimen atau retorik politik bernada sumbang tidak akan membawa sebarang faedah, sebaliknya hanya melemahkan dan mengganggu pelaksanaan kelancaran agenda pembangunan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.





