
SANDAKAN – Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh agenda kebajikan sosial menerusi pelaksanaan Program Pusat Jagaan Harian Warga Emas (Merpati) dengan meluncurkan tiga buah pusat jagaan berkenaan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan warga emas di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata, pelaksanaan Merpati melalui program berkenaan merupakan satu inisiatif signifikan dalam memastikan kualiti hidup golongan tersebut terus terpelihara.
“Program itu dilaksanakan selaras dengan Program Santunan Prihatin Jabatan di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan keseimbangan pembangunan negeri merangkumi aspek sosial, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan kekal komited bahawa pembangunan negeri bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, tetapi turut memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial, nilai kemanusiaan serta kebajikan rakyat,” katanya semasa merasmikan majlis peluncuran Program Merpati di Dewan Serbaguna, Rumah Warga Tua Sri Harapan, di sini, pada Selasa.

Menurut Julita, pendekatan Program Merpati dilihat lebih relevan dengan keperluan semasa kerana tidak memisahkan warga emas daripada keluarga, sebaliknya berfungsi sebagai sokongan kepada institusi kekeluargaan.
“Kita sedar anak-anak hari ini mempunyai komitmen pekerjaan dan tanggungjawab harian, namun masih ingin memastikan ibu bapa mereka mendapat penjagaan yang sempurna.
“Program ini menjadi jambatan yang membantu keluarga tanpa mengambil alih peranan mereka, di samping memberi ruang kepada warga emas untuk kekal aktif, berinteraksi dan terus merasa dihargai dalam masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Julita turut menekankan aspek penyampaian maklumat kepada rakyat perlu diperkasakan bagi memastikan program berkenaan dapat dihebahkan kepada kumpulan sasar.
“Program yang baik tidak akan memberi impak optimum sekiranya masyarakat tidak mengetahui kewujudannya.
“Justeru, usaha promosi dan hebahan perlu diperkukuhkan hingga ke peringkat akar umbi melalui semua saluran komunikasi termasuk turun padang, jaringan pemimpin komuniti dan media sosial perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Julita turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Negeri Sabah atas penganjuran program tersebut dan berharap ia terus diperkasakan serta diperluaskan ke seluruh negeri.
Selain di Sandakan, pusat penjagaan Merpati turut diwujudkan di Tawau dan Kota Kinabalu sebagai manifestasi jelas komitmen kerajaan dalam membina masyarakat penyayang yang menitikberatkan kebajikan, maruah dan kesejahteraan rakyat.





