Tiga produk kosmetik miliki racun, KKM batal notifikasi

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

KKM menerusi kenyataan berkata, produk berkenaan ialah GB Night Cream Treatment yang dikesan mengandungi hidrokuinon dan tretinoin; GB Herbal Cream Treatment (merkuri dan betamethasone 17-Valerate); dan Aniqa Night Cream yang dikesan mengandungi tretinoin.

Katanya, pembatalan notifikasi produk itu dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau bayi yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, KKM berkata, produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hidrokuinon boleh menyebabkan bahan kulit yang disapu mengalami kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Tretinoin pula menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Sementara itu, KKM memaklumkan, Betamethasone 17-valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kemudaratan.

Sehubungan itu, kementerian terbabit menggesa penjual dan pengedar produk terlibat menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, inividu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikut.

“Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikut.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.

Related Posts

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus ASEAN dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air tersebut. Menteri Luar, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

SANDAKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera termasuk tambahan dengan keseluruhan sebanyak RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga terlibat kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia, di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran