
IPOH – Tiga buah buku di bawah Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030 diterbitkan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sekali gus menjadikan Perak antara negeri yang menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memartabatkan bahasa ibunda tersebut.
Inisiatif itu dimulakan dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan kerjasama bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP).
Tiga buah buku tersebut masing-masing bertajuk ‘Potensi dan Laluan Kerjaya TVET’; ‘Celik Tulis: Santuni Murid Orang Asli’ serta ‘Sisa Menjadi Sumber: Strategi Ekonomi Kitaran’.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama itu akan membuka ruang lebih luas ke arah usaha memartabatkan bahasa Melayu di negeri Perak.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuhkan penerbitan ilmiah serta memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negeri Perak,”ujar beliau.
Jelasnya, buku tersebut adalah hasil penyelidikan mendalam yang akan menjadi sumber penting dalam memastikan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Pelancaran buku ini adalah bukti bahawa negeri Perak bukan sahaja fokus kepada pembangunan fizikal tetapi juga kepada pembangunan intelektual.
“Buku-buku ini akan menjadi rujukan penting dalam merangka dasar-dasar yang lebih inklusif dan mampan untuk pembangunan negeri yang lebih seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Jalinan Mesra Perak Sejahtera 2030 dan Majlis Penutup Perak Sejahtera 2030 Summit X Pemikir Darul Ridzuan di Hotel Casuarina @ Meru, malam Rabu.
Hadir sama pada majlis pelancaran buku tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Maisarah Ahmad serta Timbalan Ketua Pengarah DBP, Tn. Md Johari Hasan.
Pada majlis sama, IDR turut memeterai MoU dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam usaha mengukuhkan agenda Koridor TVET Malaysia.
Tambah Saarani, IDR dan Perkeso sedang membangunkan sebuah dashboard yang menyediakan statistik tenaga buruh dan analisis komprehensif mengenai pelaksanaan program TVET.





