
MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau tidak pasti sama ada akan diadakan taklimat khas Kabinet esok bagi membincangkan isu rombakan Kabinet seperti yang dilaporkan.
Beliau menjelaskan bahawa setakat ini, mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung seperti biasa dijangka hanya menumpukan kepada hal pentadbiran kerajaan dan bukan berkaitan rombakan Kabinet.
“Saya rasa tak (ada taklimat khas Kabinet mengenai rombakan). Rombakan semua, Perdana Menteri dia punya prerogatiflah. Dia punya kuasa mutlak untuk buat apa-apa dia mahu buat.
“Kalau betul ada taklimat (Perdana Menteri), saya tak boleh sahkan. Tapi buat masa ini, saya rasa tak ada lagi. Apa-apa itu kena tanya Perdana Menteri,” katanya kepada selepas merasmikan Malaysia Wood EXPO 2025 di ibu negara, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, yang menyatakan bahawa satu taklimat khas Kabinet mungkin diadakan esok bagi membincangkan hal berkaitan rombakan Kabinet.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat semakin hangat berikutan beberapa kekosongan jawatan menteri yang masih belum diisi setakat ini.
Keputusan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menguatkan desas-desus mengenai rombakan tersebut.
Selain itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga dijangka menjadi kosong pada awal bulan depan apabila penyandangnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menamatkan tempoh dua penggal tetapnya sebagai Ahli Dewan Negara.
Pada masa ini, jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang masih belum diisi masing-masing dipangku oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Johari.






