PUTRAJAYA – Sebuah badan bebas yang mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal, dikenali sebagai Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bakal ditubuhkan selepas Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) diluluskan di Dewan Negara, pada Khamis.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna dan menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna.
Katanya, ia turut menggalakkan perlakuan yang adil, profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit selain menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.
“Buat masa ini, terdapat enam perkhidmatan kredit pengguna yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later atau BNPL), pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang, dan pengurusan hutang.
“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh SKP di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan kelak,” kata kementerian itu menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, MoF turut menegaskan RUU itu juga dapat memperkukuh kawal selia terhadap semua perkhidmatan kredit pengguna di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, RUUKP adalah manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.
Katanya, RUUKP yang dijangka diwartakan akhir tahun ini akan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.
“Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin. Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan, seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
“RUU itu akan menjadi sebuah akta induk yang akan diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masing-masing,” katanya.
Terdahulu Hui Ying di Dewan Negara pada Khamis menyatakan RUUKP akan memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan kredit yang tidak adil, tidak telus, dan menindas.
RUU itu adalah manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.



