
LIMBANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang meneruskan inisiatif prihatin dengan mengadakan lawatan kebajikan dan menyerahkan sumbangan kepada pegawai, anggota serta ahli keluarga yang memerlukan bersempena dengan bulan Ramadan, baru-baru ini.
Program berkenaan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot bersama barisan pegawai kanan dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) cawangan IPD Limbang.
Siri lawatan yang bermula kira-kira jam 2.10 petang itu dimulakan dengan penyerahan hamper keperluan bayi kepada Inspektor Md Azuwan Mohamad, mewakili isterinya, Inspektor Markartini Che Baharun yang selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.
Parum turut merakamkan ucapan tahniah atas kelahiran cahaya mata pasangan berkenaan.
Dalam program sama, beliau bersama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Peter Jumat serta rombongan mengadakan lawatan ke Bengkel Pengangkutan IPD Limbang bagi menyampaikan sumbangan makanan kering kepada Koperal Liew Song Huat.

Sumbangan tanda keprihatinan pasukan itu turut diagihkan ke kediaman beberapa penerima lain bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri, di samping menyantuni mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Antara penerima tersebut ialah Sarjan Dara Chuat; Koperal Staniskalaus Paiwa; Koperal Sufian Rasit; isteri kepada Sarjan Ellias Naong, Kristina serta pesara polis, Sarjan (B) Nehemia Bonel.
Dalam pada itu, Parum turut menyerahkan sumbangan khairat kematian daripada Kelab Polis IPD Limbang kepada Ellias atas pemergian bapa tercinta.
Menurut Parum, inisiatif kebajikan seumpama itu akan diteruskan dari masa ke masa sebagai usaha memberi sokongan moral dan membantu meringankan beban warga kerja serta ahli keluarga.
“Selain membantu mereka yang memerlukan, program ini juga diharap dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga IPD Limbang,” katanya.





