
LAHAD DATU – Lelaki berstatus suami orang bersama janda antara tiga pasangan ditangkap khalwat menerusi Ops Bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa di beberapa hotel sekitar Lahad Datu, pada Sabtu.
Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu, Mardi Ariffin berkata, operasi berkenaan dijalankan selama empat jam bermula pukul 9 malam.
“Sebanyak 10 hotel diperiksa, membabitkan lebih 60 bilik dan hasil pemeriksaan mendapati tiga pasangan dicekup atas kesalahan khalwat.
“Salah seorang lelaki yang ditahan merupakan suami orang manakala pasangannya pula seorang janda ketika kedua-duanya didapati berdua-duaan dalam bilik hotel,” katanya kepada media selepas Ops Bersepadu, pada Ahad.

Menurut Mardi, antara barangan yang turut ditemui semasa serbuan termasuklah kondom, cecair pelincir dam tisu magik dipercayai untuk tujuan todak bermoral.
“Kesemua pasangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No. 3/1995.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali manakala pesalah wanita boleh ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun,” katanya.
Mardi turut mengingatkan agar masyarakat Islam menjauhi perbuatan zina yang jelas dilarang agama dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, operasi itu disertai pegawai JHEAINS dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu, JHEAINS Tungku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).





