PUTRAJAYA – Stigma penjawat awam, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadikan jawatan sebagai ‘lubuk cari duit’ dapat dihapuskan selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meningkatkan amalan tadbir urus dan tatakelola baik menerusi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) selain mewajibkan penubuhan unit integriti.
Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (Perapim), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, penubuhan unit integriti dilihat merupakan pendekatan holistik dalam memastikan tadbir urus terbaik, memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi.
Menurutnya, ia juga mampu berfungsi agar PBT menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan atau maklumat mengenai salah laku jenayah seperti pelanggaran tatakelola dan etika organisasi, selain memastikan tindakan susulan sewajarnya diambil serta melaporkannya kepada agensi penguatkuasaan.
“Langkah KPKT mampu memperkasa tadbir urus PBT dan membantu negara dapat meningkatkan kedudukannya dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah (CPI), malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat. Hakikatnya, PBT adalah kerajaan paling dekat dengan komuniti, mempunyai peranan dan fungsi cukup besar yakni bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir sesuatu kawasan.
“Walaupun institusi ini berada pada tingkat ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan negeri, peranannya dalam menyampaikan perkhidmatan secara langsung dengan cepat kepada penduduk di peringkat akar umbi sangat penting,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizam berpandangan unit integriti tidak boleh dilantik di kalangan kakitangan PBT agar tiada ‘tangan ghaib’ yang menggangu pentadbirannya selain memberi kuasa penuh kepada mereka mengambil tindakan kepada mereka yang melakukan salah laku jenayah tanpa kompromi.
“Perkara ini yang rakyat hari ini nak lihat, ketirisan, kesalahan salah laku tatakelola di kalangan penjawat awam sudah berlaku terlalu lama sehingga wujud persepsi bila dengar (kakitangan) kerajaan mesti (terlibat) rasuah sebab orang ramai melihat mereka hidup senang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan modul serta program latihan perlu diperkasa yang bukan hanya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah setiap agensi kerajaan yang berkaitan harus bersama bagi memastikan insiatif itu dapat dilaksana dengan sebaiknya.
Mohamad Nizam yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM) berkata, keperluan juga budaya membenci rasuah dimulakan di peringkat sekolah dan universiti agar memahami secara terperinci bahawa perbuatan itu merosakkan masyarakat serta menghancurkan negara, sekali gus membantutkan hasrat kerajaan mahu membentuk dan melahirkan masyarakat madani.
“Nak menghapuskan secara total tidak susah, namun ia mengambil masa lama, sebab itu ia perlu bermula di bangku sekolah lagi agar negara dapat melahirkan generasi muda kelas pertama yang bebas rasuah selain memahami dengan jelas bahaya rasuah dan pentingnya nilai integriti.
“Pada masa sama, bukan sahaja SPRM yang terlibat dalam program latihan kesedaran, namun perlu melibatkan agensi yang berkenaan dalam memberi bengkel agar ilmu kemenjadian diri serta ketuhanan dapat diterapkan. Mereka kena dididik dengan lebih mendalam agar memahami ini bukan sahaja melibatkan kredibiliti diri sendiri dan tempat bekerja, malah tempiasnya akan turut terkena kepada keluarga,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mendedahkan 12 PBT diturunkan penarafan di bawah SPB-PBT susulan penyenaraian kriteria baharu berkaitan pencegahan rasuah.
Tanpa mendedahkan senarai 12 PBT itu, beliau memaklumkan kriteria penilaian baharu berkenaan diwujudkan bagi memastikan negara dapat meningkatkan kedudukan dalam ranking indeks persepsi rasuah (CPI).

Sementara itu, penganalisis isu Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, tindakan KPKT menurunkan penarafan 12 PBT selepas tidak memenuhi kriteria berkaitan pencegahan rasuah di bawah SPB-PBT dilihat tindakan holistik, sekali gus menjadi peringatan keras kepada agar tidak memandang enteng usaha berkenaan.
Jelasnya, tidak boleh ada sebarang kompromi dalam soal penubuhan unit integriti kerana ia entiti penting dalam menjaga dan memelihara integriti setiap PBT selain dapat membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan tadbir urus baik.
“Selain diberi kaunseling kepada PBT diturunkan penarafan, KPKT perlu mengambil tindakan penguatkuasaan hukuman serius terhadap pengurusan PBT yang didapati cuai melaksanakan tugas pemantauan dan pencegahan, selain dikenakan hukuman berat kepada mana-mana anggota terbabit rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Sebenarnya, kita tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan hanya mengambil tindakan pentadbiran seperti teguran dan amaran yang jelas tidak menginsafkan pelaku rasuah, justeru sudah tiba masanya hukuman berat seperti buang kerja dilaksanakan sebagai pengajaran kepada semua.
“Beberapa kes dilaporkan sebelum ini menunjukkan rasuah membabitkan warga PBT agak serius lantas memerlukan tindakan penguatkuasaan dan pencegahan lebih tegas serta efektif,” katanya.






