SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menawarkan kepakaran dan latihan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh integriti serta kecekapan operasi pegawai penguat kuasa di sempadan negara.
Kesediaan tersebut dizahirkan semasa kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, kerjasama strategik antara kedua-dua agensi amat signifikan dalam memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dan meningkatkan profesionalisme pegawai AKPS dalam menjalankan tugas.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh lagi sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Azam pula menegaskan bahawa SPRM menyokong penuh usaha AKPS sebagai agensi penguat kuasa baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara.
“Beberapa isu melibatkan AKPS sememangnya telah berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar. Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar insentif khas diperkenalkan kepada pegawai AKPS yang bertugas di kawasan sempadan sebagai usaha memperkukuh semangat dan integriti dalam kalangan anggota.
“SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS, Datuk Sazali Mohamad; dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar.








