
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa menjadi antara institusi utama yang disasarkan dalam gerakan untuk melemahkan pentadbiran negara dan menggugat kestabilan politik, berdasarkan pendedahan dokumen terbaharu.
Menurut sumber, dokumen berkenaan memperincikan usaha tersusun untuk memberi tekanan terhadap agensi antirasuah itu susulan peranannya dalam penguatkuasaan kes berprofil tinggi yang mempunyai kaitan dengan dasar dan pendekatan Kerajaan MADANI.
SPRM sebelum ini tidak terlepas daripada dikaitkan dengan polemik politik, khususnya membabitkan siasatan terhadap tokoh berpengaruh serta individu yang mempunyai hubungan dengan kepimpinan terdahulu.
Antara yang disebut ialah kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang pernah didakwa sebagai pendakwaan terpilih susulan hubungannya dengan bekas Perdana Menteri.
Sumber berkenaan mendakwa terdapat usaha membentuk persepsi negatif terhadap SPRM bagi menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi itu.
“SPRM perlu digambarkan sebagai agensi yang kehilangan kredibiliti, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan membasmi jenayah rasuah,” kata sumber itu kepada Berita Harian.
Dokumen sama turut menyatakan bahawa siasatan berprofil tinggi berpotensi dimanipulasi untuk menyebarkan naratif penyalahgunaan kuasa.
“Beberapa tindakan dirancang untuk menggugat kestabilan SPRM termasuk gesaan daripada Ahli-Ahli Parlimen serta pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu bagi menekan kedudukan SPRM dalam kerajaan,” jelas sumber berkenaan.
Menurut dokumen berkenaan, perancangan komunikasi yang disusun didakwa bertujuan melemahkan imej Kerajaan MADANI dengan menjadikan SPRM sebagai sasaran utama, sekali gus memberi kesan terhadap pentadbiran negara.
Strategi berkenaan juga dikatakan membabitkan penggunaan media luar negara serta firma perhubungan awam (PR) antarabangsa bagi mempengaruhi persepsi umum.
“SPRM mula digambarkan sebagai badan kurang bertanggungjawab dan kurang akauntabiliti. Strategi ini bukan sekadar untuk menggugat SPRM tetapi untuk mensasarkan kerajaan,” kata sumber.
Dalam pada itu, pegawai kanan SPRM dilaporkan memandang serius dakwaan berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Satu pelan komunikasi yang dikaitkan dengan firma PR asing turut menyenaraikan SPRM sebagai satu-satunya agensi kerajaan yang menjadi fokus tindakan.
Dokumen berkenaan juga membangkitkan isu struktur pemantauan dan pelantikan kepimpinan tertinggi agensi itu.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan pengaruh politik dan penguatkuasaan terpilih. Pemerhati antarabangsa serta pakar perundangan Malaysia mendapati amalan bahawa proses SPRM kurang ketelusan dan perlindungan terhadap penyalahgunaan kuasa,” menurut dokumen itu.
Sumber berpendapat, tindakan menyasarkan SPRM adalah sebahagian daripada strategi lebih besar untuk merosakkan reputasi institusi negara serta menjejaskan keyakinan pelabur dan masyarakat.
Laporan BH itu turut menyentuh peranan media antarabangsa dalam membentuk persepsi awam terhadap isu berkenaan.
Secara keseluruhan, dokumen berkenaan menegaskan bahawa SPRM dianggap sebagai barisan hadapan yang perlu diperkukuh dalam usaha mempertahankan kestabilan kerajaan dan negara.





