Sorotan 2024: Ramalan pembangkang palsu belaka

BEBERAPA hari lagi tahun 2024 akan melabuhkan tirai penutup, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima khabar gembira apabila kajian menunjukkan semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Peningkatan rating kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan tahun ini pastinya melenyapkan ramalan jahat para pembenci terutamanya pembangkang yang meramalkan tahun 2024 sebagai tahun malap untuk rakyat dan negara.

Kalau rakyat masih ingat populariti lagu 90-an ‘Ramalanku Benar Belaka’ dendangan Zarul Umbrella, maka tidak salah jika rakyat mencipta lagu dengan tajuk ‘Ramalan Pembangkang Palsu Belaka’.

Menyorot kembali ramalan pembangkang Perikatan Nasional untuk sepanjang 2024 ini, hampir kesemuanya lebur bak anai-anai terbakar di busutnya.

Ramalan ‘jahat’ pembangkang untuk tahun 2024 yang paling popular ialah mengenai kedudukan mata wang Ringgit kononnya akan mencecah RM5 berbanding AS$1.

Saban waktu, pembangkang terus meracuni pemikiran rakyat terutamanya di media sosial seperti Facebook, TikTok dan Twitter kononnya ekonomi Malaysia akan menjadi negara dunia ketiga seperti Zimbabwe atau Zambia sekaligus rakyat akan sengsara pada tahun 2024.

Namun ramalan pembangkang yang memang suka melihat ekonomi negara merudum tidak menjadi kenyataan apabila Ringgit menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang tahun 2024.

Ringgit melonjak ke paras RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 27 September sekali gus muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.

Memetik laporan BH, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mengukuh sebanyak 1.6 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS.

Unit tempatan meningkat kepada 4.1230/1280 daripada paras penutup 4.1430/1485, meningkat 11.36 peratus setakat ini bagi tahun ini.

BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, telah menyemak semula unjuran akhir 2024 bagi ringgit kepada RM4.00 berbanding dolar AS daripada RM4.55 sebelumnya, mencerminkan prestasi mantap unit tempatan pada suku ketiga 2024.

Prestasi Ringgit turut telah membuka ruang kepada Kerajaan Madani untuk menarik pelabur ke dalam negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) turut melaporkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, memandangkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, purata pertumbuhan bagi tempoh tiga suku terawal tahun ini mencapai 5.2 peratus.

“Sekarang ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.8 peratus daripada unjuran asal 4.4 peratus.

“Jadi ‘we are on the right track’ dan Insya-Allah MITI akan berusaha untuk meningkatkan perdagangan untuk menarik pelaburan berkualiti bagi memastikan rakyat Malaysia menikmati lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi,” kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan Antarabangsa dan Industri, baru-baru ini.

Kegigihan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menjaga kesejahteraan rakyat terutamanya dalam menangani kos peningkatan harga barangan boleh diberikan tabik ‘spring’.

Ramalan pembangkang yang mendakwa harga ayam akan melambung mencecah RM20 sekilo susulan pemansuhan subsidi, begitu juga ‘kehilangan’ telur ayam di pasaran meleset sama sekali.

Hakikatnya harga ayam kekal stabil dan tidak pernah mencecah lebih RM10 sekilo, telur ayam mudah didapati dengan harga yang stabil selain beberapa lagi barangan keperluan harian dalam kategori barang kawalan yang sentiasa bekalan dan harga dipantau kerajaan.

“Kita perlu ucapkan terima kasih kepada PMX, selain kegigihan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertungkus lumus untuk memastikan keperluan barangan makanan untuk rakyat Malaysia sentiasa ada dan harganya pula dalam keadaan stabil.

“Walaupun ekonomi dunia tidak menentu masih dicengkam peperangan Ukraine-Rusia, bencana alam yang memusnahkan tanaman pertanian, tapi Kerajaan Perpaduan masih lagi mampu untuk mengatasi masalah itu demi kesejahteraan rakyat, kita kena beri tabik ‘spring’ kepada mereka.

“Itu belum lagi program Jualan Rahmah, Jualan Madani di seluruh negara yang dapat membantu meningkat kuasa beli dan meringankan rakyat, selain itu Perdana Menteri juga meningkatkan lagi jumlah nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tentunya dapat membantu rakyat,” kata Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad ketika dihubungi.

Menyingkap penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun lalu, pembangkang mengambil kesempatan untuk meracuni pemikiran rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak pandai memerintah sehingga tergamak memansuhkan subsidi yang sekian lama diberikan kepada mereka.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, rakyat akhirnya dapat menerima kebenaran bahawa pemansuhan subsidi itu bukan untuk menyusahkan mereka.

“Pemansuhan subsidi diesel ini adalah bersasar. Ini usaha kerajaan membanteras penyeludupan diesel, menangani ketirisan, namun subsidi masih diberikan kepada pengusaha pengangkutan awam, bas sekolah, peniaga dan mereka yang berdaftar dengan skim Budi Madani.

“Pembangkang kata harga barang akan naik, tapi hakikatnya tidak berlaku dan rakyat mula celik mata dan sedar bahawa pemansuhan subsidi ini bersasar dan tidak menyusahkan mereka,” katanya.

Memetik kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat 4 November lalu, kerajaan meraih penjimatan kira-kira RM600 juta sebulan hasil daripada penyasaran subsidi diesel.

Menurutnya, berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini menjana penjimatan RM600 juta sebulan.

Katanya, kadar inflasi juga kekal pada tahap terkawal dengan baru-baru ini, menunjukkan penurunan susulan kenaikan Consumer Price Index (CPI) 2.0 peratus pada Julai 2024, 1.9 peratus untuk Ogos 2024 dan 1.8 peratus pada September 2024.

Wajah pembangkang terus terkulai layu apabila Perdana Menteri mengotakan janjinya untuk melaksanakan pelarasan skim gaji penjawat awam, 19 Disember lalu.

Sebelum ini ramai pemimpin pembangkang termasuk juga Tun Dr Mahathir Mohamad memandang sinis ketika Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam bakal menerima Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada sambutan Hari Buruh, Mei lalu.

Mereka menyifatkan pengumuman itu sebagai cerita dongeng dan sukar dilaksanakan Anwar sekali gus cuba meracuni pemikiran rakyat untuk tidak meletakkan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan.

Namun, pada 19 Disember lalu ramalan jahat pembangkang ke longkang lagi, rata-rata penjawat awam menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Anwar kerana merealisasikan impian mereka memperolehi gaji baru setelah 12 tahun tiada semakan pelarasan gaji.

Sebenarnya banyak lagi ramalan jahat pembangkang menjadi palsu, sampah dan retorik politik semata-mata.

Rakyat mula sedar dan membuka mata, hasil kerja keras Kerajaan Perpaduan sepanjang 2024 ini bukan satu perkara yang mudah namun masih mampu disediakan untuk rakyat dan negara.

2025 akan memunculkan diri juga tidak lama lagi, mungkin ada komposer lagu tanah air untuk merakamkan kisah ‘perjuangan’ pembangkang dalam membuat ramalan jahat sepanjang tahun 2024 ini dalam bentuk lagu yang sesuai diberi judul seperti ‘Ramalan Pembangkang Palsu Belaka’ atau ‘Mimpi Pembangkang Yang Tak Sudah’.

Related Posts

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

KUALA LUMPUR – Meta Platforms memperkenalkan penambahbaikan ciri keselamatan Akaun Remaja di Instagram di Malaysia menerusi pelaksanaan tetapan kandungan 13+ serta kawalan ibu bapa yang lebih komprehensif bagi pengguna berusia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, dengan fokus memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

Kos bahan api tinggi, subsidi untuk pusat kebajikan wajar dipertimbang

Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

Bersatu akan kuburkan PN menerusi ‘trojan horse’

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

Tetapan 13+ diperluas, Meta tingkat keselamatan akaun remaja

Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

Isu tenaga, geopolitik jadi fokus pertemuan Anwar–Albanese

Jersi papar unsur judi, Pemuda UMNO desak siasatan

Jersi papar unsur judi, Pemuda UMNO desak siasatan

Pesara wanita berputih mata, rugi RM1.17 juta akibat ‘Love Scam’

Pesara wanita berputih mata, rugi RM1.17 juta akibat ‘Love Scam’