
KANGAR – Kewujudan elemen promosi platform perjudian dalam aktiviti sukan di negeri ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan golongan belia.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis, Saiful Fariddil Jasmi berkata, perkara itu dikesan pada 15 April lalu kira-kira pukul 1 petang di kawasan Taman Sena di sini.
“Ketika berada di lokasi tersebut, saya telah melihat imej yang memaparkan pemakaian jersi bola sepak yang tertera tulisan perkhidmatan sebuah syarikat perjudian dalam talian yang terkenal dengan pertaruhan sukan.
“Perkataan tersebut dikenal pasti sebagai entiti perjudian dalam talian yang boleh memberi gambaran tidak wajar dalam aktiviti melibatkan sukan dan komuniti,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, tular di media sosial mengenai tindakan wakil rakyat dan ahli Parlimen negeri itu yang didakwa mempromosikan jersi tertera nama syarikat perjudian dalam talian ketika perlawanan bola sepak antara bekas pemain Perlis menentang pasukan sebuah stesen radio.
Menurutnya, keadaan itu boleh mewujudkan persepsi seolah-olah elemen berkaitan perjudian diterima atau tidak dikawal dengan sewajarnya.

“Seperti sedia maklum, aktiviti perjudian tertakluk kepada undang-undang di Malaysia dan sebarang bentuk promosi perlu diteliti dengan serius,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya telah membuat laporan polis dan memohon agar siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang melibatkan penggunaan logo atau elemen tersebut.
Jelasnya lagi, laporan polis tersebut dibuat dengan niat baik demi kepentingan awam dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara telus serta adil.
Menurutnya, mantan Menteri Besar Perlis sebelum ini telah mengharamkan kedai judi, namun apa yang berlaku kini seolah-olah mempromosikan perjudian.
Katanya, penganjur juga perlu lebih sensitif termasuk memastikan kandungan pada jersi tidak memberi mesej yang salah kepada kanak-kanak dan masyarakat.



