KUALA LUMPUR – Meta Platforms memperkenalkan penambahbaikan ciri keselamatan Akaun Remaja di Instagram di Malaysia menerusi pelaksanaan tetapan kandungan 13+ serta kawalan ibu bapa yang lebih komprehensif bagi pengguna berusia bawah 18 tahun.
Dalam kenyataan, Meta memaklumkan semua akaun remaja akan ditetapkan secara automatik kepada mod kandungan 13+ yang dikemas kini, bagi mengehadkan pendedahan terhadap bahan berpotensi tidak sesuai, selain tidak boleh diubah tanpa kebenaran ibu bapa.
Langkah itu bertujuan memastikan kandungan yang dipaparkan kepada remaja setara dengan bahan yang dibenarkan untuk tontonan berusia 13 tahun ke atas.
“Remaja kadangkala akan menjumpai kandungan yang tidak senonoh atau bahasa yang kasar seperti dalam filem berkenaan di Instagram, tetapi kami akan terus berusaha memastikan keadaan itu jarang berlaku,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara Tengah dan ASEAN, Clara Koh, berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh keselamatan digital pengguna muda.
Akaun Remaja yang dipertingkatkan itu turut menyediakan pilihan Limited Content (kandungan terhad) yang lebih ketat, sekali gus memberi kuasa kepada ibu bapa untuk mengawal jenis kandungan yang boleh diakses oleh anak mereka.
Penambahbaikan berkenaan juga selaras dengan piawaian penarafan filem, selain mengambil kira maklum balas daripada ibu bapa.
“Selain dasar sedia ada yang menyembunyikan atau melarang cadangan kandungan berunsur seksual, imej atau grafik yang mengganggu, serta kandungan dewasa seperti jualan tembakau atau alkohol, dasar kami yang dikemas kini akan melangkah lebih jauh lagi.
“Hal ini termasuklah menyembunyikan atau tidak menyarankan hantaran yang mengandungi bahasa kasar, aksi berisiko tertentu, dan kandungan tambahan yang boleh menggalakkan tingkah laku berbahaya, seperti hantaran yang memaparkan peralatan berkaitan ganja,” menurut Meta.
Meta turut memaklumkan bahawa teknologi platformnya telah ditambah baik bagi mempertingkat keupayaan mengenal pasti serta mengehadkan akses kepada kandungan mengikut kesesuaian umur secara lebih berkesan.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk melarang remaja daripada mengikuti akaun yang kerap berkongsi kandungan tidak sesuai, selain mengehadkan interaksi akaun berkenaan dengan pengguna remaja.
Dalam masa sama, fungsi carian turut diperkukuh bagi menapis topik sensitif atau istilah matang seperti bunuh diri, mencederakan diri sendiri, gangguan pemakanan, alkohol serta kandungan berunsur keganasan.
Remaja juga tidak akan dipaparkan kandungan terhad melalui cadangan, suapan, cerita atau mesej langsung.
Pelaksanaan ciri keselamatan yang ditambah baik itu sedang dilakukan secara berperingkat dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia dalam tempoh sebulan.




