KOTA KINABALU – Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengambil tindakan saman fitnah atas penerbitan berita oleh MalaysiaNow.
SMM menerusi kenyataan media berkata, laporan berita yang disiarkan oleh MalaysiaNow mengandungi pelbagai dakwaan yang tidak berasas, bersifat fitnah serta direka bentuk untuk mengelirukan pembaca.
“SMM ingin merujuk kepada laporan berita dan video yang diterbitkan oleh MalaysiaNow berkaitan dengan dakwaan bahawa SMM telah memberikan lesen mencarigali (Prospecting Licence) kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
“Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa penerbitan tersebut bersifat berat sebelah, tidak adil, serta menimbulkan persepsi bahawa ia merupakan satu usaha yang dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya.
“SMM akan teruskan dengan tindakan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan sejurusnya pihak-pihak terlibat,” kata kenyataan media tersebut pada Jumaat.
Jelasnya, SMM tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan lesen mencarigali (Prospecting License) sebaliknya di bawah Sabah Mining Ordinance 1960, Lesen Mencarigali hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).
Sehubungan itu, seperti yang telah disahkan oleh Pengarah JTU dalam kenyataan media beliau, yang bertarikh 24 Julai lalu, tiada sebarang lesen mencari gali atau apa-apa lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan oleh JTU kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
Katanya lagi, peranan SMM hanya terhad kepada menyelaras dan melaksanakan pemeriksaan usaha wajar (due diligence) serta mengeluarkan Surat Kebenaran Bersyarat untuk memohon lesen mencari gali selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan dan bukan pemberian lesen.
Mengulas lanjut, katanya kelulusan bersyarat kepada Bumi Suria Sdn Bhd untuk memohon telah dibatalkan selepas syarikat itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan dalam tempoh ditetapkan.
“Surat pembatalan rasmi dikeluarkan oleh SMM pada 24 Mac 2025.
“Oleh itu, kelulusan bersyarat untuk membuat permohonan lanjut tersebut terbatal secara serta-merta.
“Fakta ini telah diketepikan sepenuhnya oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, MalaysiaNow juga telah membuat kesalahan penyalahgunaan imej yang mana mereka menerbitkan rakaman audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Lembaga SMM pada Mei 2024, namun suara dalam rakaman tersebut bukan milik Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim.
“Walaupun begitu, portal tersebut menggunakan imej dan nama beliau dalam konteks suara audio berkenaan, yang menimbulkan kekeliruan dan tanggapan tidak tepat terhadap penglibatan beliau dalam isu yang dibangkitkan.
“Kegagalan MalaysiaNow mengesahkan kesahihan maklumat dengan SMM ataupun Natasha sebelum penerbitan merupakan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanggapan negatif terhadap SMM serta kepimpinannya,” kata kenyataan sama.
Justeru itu, SMM mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang bersifat palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.




