
SLOGAN ‘penyatuan Melayu’ yang sering dilaungkan Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak mencerminkan realiti sebenar gabungan itu susulan pertelagahan dalaman yang semakin terserlah, khususnya melibatkan Pas dan Bersatu.
Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, sekurang-kurangnya tiga bentuk konflik dalaman dapat diperhatikan secara terbuka, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keutuhan dan kestabilan PN.
Beliau berkata, konflik pertama berlaku dalam Pas sendiri apabila wujud percanggahan antara kem kepimpinan parti itu dengan kem Mursyidul Am, sehingga mencetuskan pertelagahan sesama golongan ulama.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan institusi ulama tertinggi dalam Pas yang sepatutnya menjadi faktor penyatuan, bukan punca perpecahan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahmad Mursi berkata, konflik kedua pula membabitkan hubungan antara Pas dan Bersatu, khususnya melibatkan perebutan pengaruh serta kedudukan kepimpinan dalam PN.
Beliau mendakwa wujud persaingan antara kem Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pihak tertentu yang dilihat mahu merampas kedudukan Pengerusi PN.
Selain itu, beliau berkata, konflik ketiga berlaku dalam Bersatu sendiri apabila wujud pertelagahan antara kem Muhyiddin dan kem Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas isu terkini di Perlis, Ahmad Mursi berkata kenyataan Mursyidul Am Pas yang mengumumkan penerimaan rayuan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu telah menimbulkan kekeliruan apabila disanggah oleh Ketua Dewan Ulama Pas yang juga ahli Majlis Syura Ulama.
“Percanggahan ini menyebabkan kenyataan awal terpaksa dipadam, termasuk laporan media berkaitan, sekali gus mendedahkan bagaimana institusi ulama tertinggi Pas dipermalukan secara terbuka,” katanya.
Beliau menegaskan kekacauan dalaman PN berlaku tanpa sebarang campur tangan pihak luar, termasuk DAP, yang sering dijadikan sasaran dalam naratif politik gabungan berkenaan.
“Hakikatnya, tanpa kehadiran DAP dalam kerajaan negeri Perlis atau dalam PN, pertelagahan tetap berlaku. Bezanya, tiada pihak yang boleh dijadikan kambing hitam,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Mursi berpandangan slogan ‘penyatuan Melayu’ yang dilaungkan PN lebih bersifat retorik dan tidak selari dengan realiti politik dalaman gabungan tersebut.
Beliau turut menyatakan keyakinan kestabilan politik negara ketika ini lebih terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI yang berfungsi dengan struktur serta disiplin kepimpinan yang lebih jelas.







