
PENAMPANG – Hanya 11,101 kenderaan daripada kira-kira 100,000 kenderaan yang mendaftar bagi program Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bersasar setakat 24 September.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, jumlah itu melibatkan 4,412 buah syarikat yang bersamaan kira-kira 11 peratus.
“Jumlah itu masih rendah walaupun pendaftaran telah dibuka sejak 15 September lalu khususnya bagi kategori pengangkutan awam darat dan barangan yang melibatkan 21 jenis kenderaan.
“Bagi Sabah, ini kali pertama penyertaan kerana negeri ini tidak termasuk dalam Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas sesi lawatan kerja bagi meninjau Persediaan pelaksanaan SKPS, pada Khamis.

Katanya lagi, beliau menyeru pengusaha teksi, van dan syarikat kecil yang banyak menggunakan petrol agar segera mendaftar sebelum program bermula pada 30 September ini.
Tambahnya, pendaftaran dilakukan secara dalam talian melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) namun selepas diluluskan, pemilik kenderaan perlu melengkapkan proses kedua dengan syarikat minyak untuk mendapatkan ‘Fleet Card’.
“Tempoh pengeluaran kad mengambil masa antara lima hingga 14 hari bergantung kepada jenis akaun.
“Jika daftar pada saat akhir, mereka mungkin tidak sempat mendapatkan kad sebelum 30 September dan terpaksa membayar harga pam tanpa subsidi,” jelasnya.
Fuziah berkata, ketelusan sistem subsidi baharu ini jumlah potongan ditolak ketika mengisi minyak dan dipaparkan pada resit.
“KPDN tidak menerima sebarang aduan setakat ini kerana program belum bermula.
“Kita bimbang sikap mendaftar pada saat akhir akan menjejaskan pembelian subsidi bersasar,” ujarnya.








