KUALA LUMPUR – Pelantikan Komisioner Polis, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah baharu Agensi Keselamatan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh kawalan keselamatan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pelantikan tersebut mencerminkan usaha menyebar luas budaya kerja dan kepimpinan PDRM ke agensi penguat kuasa lain demi mempertingkatkan kecekapan keselamatan negara secara menyeluruh.
Katanya, Mohd Shuhaily sebagai pemimpin berwibawa berdasarkan pengalaman luas termasuk lebih dua dekad dalam Cawangan Khas dan latihan bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), selain pencapaian cemerlang mengemudi JSJ sebelum ini.
“Pelantikan Datuk Seri Shuhaily ini adalah satu penghormatan kepada PDRM kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.
“Saya percaya ini satu amanah yang berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau dan PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu bagi memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab ini dapat dijayakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman antara Datuk Seri Mohd Shuhaily dan Deputi Komisioner Polis Datuk Fadil Marsus yang memangku jawatan itu.
Terdahulu, Mohd Khalid ketika berucap pada majlis itu menyatakan bahawa pertukaran tampuk kepimpinan dalam PDRM bukan hanya urusan pentadbiran semata-mata, sebaliknya strategi untuk memperkukuh struktur keselamatan negara menerusi keseragaman budaya kerja.
“Pintu-pintu masuk utama negara perlu dikawal dengan ketat dan efisien agar tidak dibolosi apa juga ancaman keselamatan sejajar aspirasi kerajaan mempertingkatkan tahap kecekapan serta integriti pengurusan di perbatasan.
“Lantaran itu, penubuhan AKPS pada 17 Oktober 2024 di bawah Akta 860 adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan lagi struktur keselamatan negara,” katanya.








