MIRI – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, optimis pelaksanaan penuh Sarawak Gas Roadmap (SGR) dalam tempoh 10 tahun akan datang mampu menarik pelaburan berjumlah RM300 bilion dan menjana pengeluaran bernilai RM120 bilion.
“SGR adalah pelan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran dan tenaga boleh diperbaharui.
Ia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Sarawak 2025 di Stadium Bandaraya Miri pada Selasa.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan Sarawak untuk menjana sehingga 15,000 megawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035, yang sebahagiannya akan dieksport ke negara-negara ASEAN.
“Kita tidak hanya menambah nilai pada “sumber asli, malah mahu memastikan rakyat menikmati manfaatnya.
Kita mahu buktikan Sarawak bukan sekadar negeri kaya, tetapi rakyatnya juga sejahtera,” tegas beliau.
Premier turut memaklumkan Sarawak telah mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM14 bilion, disusuli dengan pembentangan belanjawan terbesar negeri berjumlah RM15.8 bilion.
Pencapaian ini adalah hasil pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum serta perkongsian keuntungan antara Petronas dan Petros.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







