
LAHAD DATU – Seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan sebuah kenderaan di kawasan Dewata, Jalan Lahad Datu-Tawau, pada Khamis.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa dikenal pasti sebagai Rey Davila, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Bomba menerima panggilan pukul 10 malam dan dimaklumkan tiga mangsa terlibat tersepit di dalam kereta jenis Proton Saga BLM namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua mangsa lelaki cedera parah Rendell Ray Davila, 27, dan Reymar Davila, 20, dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pukul 11.20 malam.







