Oleh: Ben Ibrahim & Musa Abadi
KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan pada Isnin dalam kes membabitkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilihat bakal memberi kesan terhadap persiapan UMNO negeri itu berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.
Kes rasuah yang didakwa berlaku pada tahun 2015 itu juga menunjukkan mahkamah membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Walaupun pada awalnya, ramai meramalkan pasangan suami isteri itu akan terlepas kerana menjadi ‘sebahagian daripada penyokong kerajaan’, namun adalah jelas Mahkamah Rayuan tidak mengambil kira faktor berkenaan.
Semua keputusan dibuat berdasarkan fakta kes dan permohonan dibuat pasukan pendakwaan.
Panel hakim yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dan Datuk Noorin Badaruddin mengulas bahawa kes ini berhak untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Kes membabitkan Bung Moktar dan isteri agak unik kerana beliau didakwa menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi Felcra ketika itu, untuk mempengaruhi seorang menteri Kabinet membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.
Sebagai balasan, Bung Moktar menerima sejumlah suapan sebagai tanda ‘terima kasih’ oleh seorang ejen unit amanah.
Semua ‘upah’ itu pula dikatakan diterima menerusi akaun Zizie Izette, isteri yang dikahwininya pada tahun 2010.
Bung Mokhtar ketika ditemui media di pekarangan mahkamah sudah menyatakan kesediaan untuk membela diri dan prosiding seterusnya ditetapkan pada awal bulan depan.
Walaupun tidak dapat diramal sejauh mana kesannya terhadap sokongan rakyat dan akar umbi UMNO Sabah, namun ia akan menjejaskan tumpuan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan untuk mengetuai PRN yang dijangka sengit itu.
Tambahan pula, isu berkaitan integriti sebegini lebih-lebih lagi berkenaan kes rasuah yang juga kini menjadi tumpuan utama Kerajaan Madani dalam agenda reformasi negara untuk membasmi rasuah secara total, sudah pasti Bung dan bala tenteranya terpaksa meluangkan masa yang lebih untuk menepis segala serangan yang bakal menerjah dari segenap sudut kelak.
Letak Jawatan
Susulan itu, sebuah NGO tampil mendesak supaya Bung melepaskan jawatannya agar beliau dapat memberi tumpuan terhadap kes mahkamah, memandangkan ahli UMNO Sabah memerlukan pemimpin yang boleh memberikan masa yang cukup kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan tahun depan.
Menurut sumber UMNO Sabah ketika dihubungi The Malaysia Press berkata, meskipun Bung antara pemimpin yang menunjukkan kesetiaannya serta mengambil tanggungjawab besar menggalas tanggungjawab memimpin UMNO Sabah selepas penyandang terdahulu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor meninggalkan parti itu pada Disember 2018 lepas namun, perkembangan terkini kes mahkamah membabitkan Bung mampu memberikan kesan tidak baik terhadap UMNO Sabah.

Justeru, barisan kepimpinan Sabah perlu mengambil langkah paling proaktif dan radikal – rombakan kepimpinan utama negeri termasuk menggantikan tempat Bung Mokhtar kepada calon yang lebih ‘clean’, selain boleh diterima oleh segenap kumpulan dalam UMNO Sabah.
Ketika ditanya berkenaan calon yang sesuai menggantikan tempat Bung, sumber berkenaan memaklumkan terdapat ramai calon yang boleh dikemukakan dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah.
Calon Muda
Antara calon pemimpin utama UMNO Sabah yang dilihat mampu menggantikan Bung sebagai nakhoda di negeri itu adalah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2013-2018) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) (2016-2018) itu dikatakan antara calon pilihan UMNO pusat sekiranya jawatan Ketua UMNO Sabah kosong ketika ini.
Sebagai pemimpin parti yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan mesra di kalangan anak muda, Rahman dilihat antara individu yang mampu menggalas tanggungjawab membawa UMNO negeri itu ke haluan yang sepatutnya namun, reputasi kekalahan Rahman pada Pilihanraya Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di Kota Belud dengan majoriti 4,582 undi memungkinkan UMNO Sabah perlu mencari calon lain untuk menggantikan Bung sebagai ketua.
Selain kegagalan Rahman merampas kerusi Kota Belud dari penyandangnya, Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan, langkah Rahman ‘menyerang’ Bung pada Ogos 2020 dengan bantahannya bersama 12 orang Ketua Bahagian terhadap lantikan Bung sebagai pengarah pilihan raya BN bagi PRN Sabah yang sisifatkan sebagai melulu itu turut menjadi pertimbangan.

Orang Lama UMNO Sabah
Calon lain yang dilihat berpotensi besar untuk menggantikan Bung sebagai Ketua UMNO Sabah muktahir ini merupakan seteru politik Rahman dalam UMNO iaitu Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Bekas Ketua Menteri Sabah ke-9, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, dan ADUN Usukan itu dikatakan antara nama besar yang layak menggantikan Bung sebagai Ketua UMNO Sabah berdasarkan pengalaman luasnya dalam politik dan kerajaan persekutuan.

Salleh, ADUN paling tinggi mendapat majoriti kemenangan dengan catatan lebih 8,000 undi pada PRN Sabah yang lepas menguatkan lagi reputasinya sebagai calon ketua, selain karakternya yang disenangi oleh kawan dan lawan dalam politik.
Namun, teka-teki tanpa pembayang yang tidak dapat dipastikan jawapannya ketika ini adalah, adakah Bung akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Sabah dalam keadaan getir ketika ini?
Sekiranya beliau melepaskan jawatan tersebut, siapa pula calon pilihan UMNO pusat melalui kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan siapa pula calon sebenar yang dipilih oleh pemimpin akar umbi dan ahli UMNO Sabah sendiri?
Adakah pemilihan Ketua UMNO Sabah akan ditentukan oleh MKT atau UMNO Sabah menggunakan autonomi mereka untuk menentukan calon ketua di negeri itu?
Jawapannya hanya ada pada masa.






