
LIMBANG – Banyak pembangunan telah dilaksanakan di Kampung Bukit Brayong, Rumah Babai Manchu sejak tahun 2008 bagi memastikan keselesaan dan kemudahan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan sejak beliau dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu, selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Penyerahan Sumbangan My Christmas 2025 anjuran Sarawak Volunteers Parlimen P.221 Limbang, baru-baru ini.
Menurutnya, Sarawak Volunteers merupakan sebuah pertubuhan yang telah melalui perjalanan panjang sejak ditubuhkan pada tahun 2008 oleh ahli-ahli Parlimen Sarawak dengan matlamat membantu anak Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
“Antara pengasas utama Sarawak Volunteers ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan pertubuhan ini.
“Pada awalnya, fokus utama adalah membantu anak Sarawak di Semenanjung, namun pertubuhan ini terus berkembang pesat dan kini turut membantu masyarakat di Sarawak dan Sabah, termasuk penubuhannya di Limbang,” katanya.

Hasbi menjelaskan, Sarawak Volunteers berperanan seperti ‘tangan kerajaan’ dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti termasuk bantuan bencana alam, gotong-royong, sumbangan makanan serta program kebajikan lain.
Beliau turut melihat Sarawak Volunteers sebagai platform terbaik untuk menggerakkan penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan, di samping menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan dan kerjasama antara kaum serta agama di Sarawak.
“Keahlian Sarawak Volunteers terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Melalui pelaksanaan program kemasyarakatan, kita dapat menyemai semangat perpaduan, kerjasama dan kemesraan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia,” katanya.
Menurut beliau, perpaduan kini menjadi cabaran besar bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global, dan sekiranya tidak dipelihara dengan baik, ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Namun, Sarawak pada hari ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia apabila berjaya mengekalkan perpaduan yang utuh walaupun masyarakatnya berbilang kaum dan agama.
“Malah, kestabilan politik Sarawak sering dilihat sebagai antara yang paling stabil di negara ini,” katanya.






