
BALINGIAN – Usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan kelestarian warisan terus diperkasakan apabila Sarawak Skills bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) menganjurkan Program Pembangunan Kraftangan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan penenun tempatan.
Program berkenaan berlangsung di Balingian dari 5 hingga 7 November lalu, sebelum diteruskan di Batang Ai dari 11 hingga 13 November lalu melibatkan 40 peserta mewakili 15 rumah panjang, semuanya terdiri daripada penggiat seni anyaman tradisional.
Menurut penganjur, inisiatif itu bertujuan memperkaya produk anyaman agar lebih pelbagai dan bernilai komersial, bukan sekadar terhad kepada tikar tradisional.
Peserta diperkenalkan kepada teknik menghasilkan produk berasaskan anyaman seperti beg tangan, sarung komputer riba, dompet, pouch dan clutch yang memenuhi cita rasa pasaran moden.
Selain latihan teknikal, peserta turut didedahkan kepada trend reka bentuk semasa, penjenamaan produk serta strategi pemasaran bagi membantu mereka menembusi pasaran lebih luas dan meningkatkan sumber pendapatan.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12, program ini mengutamakan penggunaan bahan lestari seperti rotan, buluh dan bemban bagi memelihara biodiversiti tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan sintetik.
Dari sudut sosial dan ekonomi pula, usaha tersebut menyokong SDG 8, khususnya dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui peningkatan kemahiran, pembudayaan keusahawanan serta penciptaan peluang pendapatan mampan, terutama kepada wanita.
Sepanjang sesi tiga hari itu, peserta menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya menghasilkan produk kraftangan dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM12,000 secara keseluruhan bagi kedua-dua lokasi.
Kejayaan ini membuktikan potensi besar produk tempatan apabila diberi latihan dan pendedahan sewajarnya.
Kerjasama antara Sarawak Skills dengan SEB juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, menerusi program yang inklusif, berimpak dan berorientasikan pembangunan mapan.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini menjadi bukti komitmen berterusan dalam memelihara warisan, memacu pertumbuhan ekonomi setempat dan memperkukuh daya tahan komuniti luar bandar di Sarawak.







