KUCHING – Sarawak memerlukan RM17 bilion untuk menaik taraf fasiliti kesihatan termasuk RM7.84 bilion bagi pembangunan semula 206 klinik daif dan RM9.24 bilion untuk kemudahan hospital.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerima peruntukan RM2.64 bilion bagi operasi dan RM473.39 juta untuk pembangunan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebanyak RM47.83 juta digunakan untuk menaik taraf klinik termasuk RM19 juta di bawah inisiatif Klinik Daif Bitara Madani,” jelas beliau.
Dr Sim yang juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menjelaskan cadangan membangunkan semula klinik daif dengan 50 projek untuk tahun 2025 memerlukan RM40 juta.
Beliau berkata demikian semasa berucap penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Sementara itu, Dr Sim menjelaskan lagi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak juga memperuntukkan RM50 juta setiap satu untuk 12 projek kemudahan kesihatan yang kini di peringkat prapelaksanaan.
Selain itu, ujar beliau, RM56 juta diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah, termasuk RM26 juta oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong untuk tiga pusat hemodialisis dan RM30 juta oleh Agensi Pembangunan Sri Aman bagi projek hospital seperti blok psikiatri baharu dan bilik bedah.
“Sarawak kini mempunyai 26,631 kakitangan kesihatan kerajaan daripada 30,373 jawatan yang diluluskan termasuk 2,447 kakitangan kontrak,” jelas beliau lagi.




