KUCHING – Kerajaan Persekutuan bersetuju menurunkan kuasa Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Ini selaras dengan tuntutan kerajaan Sarawak terhadap perkhidmatan kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian menjelaskan terdapat tiga bidang utama.
Jelas beliau, penurunan kuasa tersebut melibatkan pendaftaran klinik, pelesenan dan penguatkuasaan.
“Kuasa Menteri dalam perlantikan Lembaga Pelawat kini terletak di bawah bidang kuasa Menteri yang bertanggungjawab ke atas kesihatan awam di Sarawak,” kata beliau lagi yang juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap penggulungan perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Sementara itu, Dr Sim menjelaskan Jawatankuasa Perubatan Sarawak (SMC) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Perbincangan mengenai Terma Rujukan masih berjalan,” kata beliau.
Ujar beliau, objektif utama SMC ialah menyediakan struktur tadbir urus tempatan yang memastikan pematuhan kepada peraturan MMC, sambil menangani keperluan dan cabaran penjagaan kesihatan khusus serantau di Sarawak.




