
KUCHING –Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh keharmonian antara agama dan kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak menjadi contoh perpaduan berbilang kaum di Malaysia berikutan sikap hormat, toleransi dan penerimaan rakyat berbilang etnik serta kepercayaan yang hidup dalam suasana saling menghargai.
“Diwali bukan sekadar perayaan. Ia simbol kesatuan dan cahaya yang menghalau kegelapan, sama seperti bagaimana rakyat Sarawak, walaupun berbeza budaya dan kepercayaan, tetap meraikan perayaan bersama bukan sebagai penonton tetapi sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sarawak Shines: Diwali The Sarawak Way Celebration di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Isnin.
Dalam ucapannya, Uggah turut merakamkan penghargaan kepada komuniti India di Sarawak atas sumbangan mereka dalam bidang pendidikan, perubatan, undang-undang, perniagaan, seni serta khidmat kemasyarakatan yang memperkayakan struktur sosial negeri ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang menjadi inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia dalam memastikan rumah ibadat bukan Islam terus menerima bantuan sewajarnya.
Menurutnya, kerajaan negerI menyalurkan beberapa peruntukan kepada komuniti bukan Islam, termasuk RM900,000 kepada Maha Mariamman Temple Association untuk pembangunan kemudahan baharu serta tambahan RM300,000 bagi penyelenggaraan dan pembangunan pelbagai rumah ibadat lain.
Selain itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluluskan peruntukan RM2.3 juta bagi pembangunan tambahan melibatkan kemudahan komuniti India di negeri ini.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Presiden Sri Maha Mariamman Temple Kuching, Datuk Shankar Ram Asnani dan isteri, Datin Karishma Shankar Asnani bersama lebih 1,000 tetamu pelbagai kaum dan agama dari seluruh negeri.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







