JITRA – Bagai sirih pulang ke gagang, kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa ke kampung halamannya menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Kampung Hilir menyuntik semangat baharu buat penduduk setempat, terutama dalam kalangan anak muda.
Program yang berjaya menarik kira-kira 1,000 penduduk di sekitar kawasan itu yang asalnya bertujuan merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan penduduk bagi memperjelaskan segala dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani, mendapat sambutan serta maklum balas yang luar biasa.
Di samping keterujaan Mohammad Fauzi yang dapat bertemu dengan saudara-mara serta rakan lama, program ini sangat bermakna kepada penduduk di situ kerana kejayaan seorang anak tempatan yang kini mampu menjawat Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi hari ini.
Kejayaan seperti ini membuktikan kepada penduduk kampung di sekitar kawasan itu bahawa seorang anak kampung juga boleh berjaya berada di peringkat tinggi dalam perkhidmatan kerajaan.

Keperitan hidup di kampung dan segala rintangan sama ada berada jauh dari pusat bandar langsung tidak menjadi halangan baginya untuk berjaya seperti hari ini.
Kepulangannya yang dihadiri lebih 1,000 orang pada program itu sudah pasti menjadikan beliau sebagai ikon kepada generasi hari ini terutamanya pada pelajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi pada Sabtu.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat daripada Telekom Malaysia dan barangan keperluan asas kepada 20 penerima asnaf yang tinggal di sekitar kawasan itu.
Majlis itu bertambah meriah lagi apabila Mohammad Fauzi turut menjadi tetamu khas di Dj Corner yang disediakan Jabatan Penyiaran dari RTM Kedah.

Penduduk Kampung Hlir, Othman Malik, 55, berkata, penduduk di sini sangat bangga dengan kejayaan Mohammad Fauzi pada hari ini.
“Kami penduduk kampung gembira kerana setiap kali wajahnya terpapar di televisyen bersama menteri menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampung ini. Kejayaannya itu akan dijadikan semangat kepada anak-anak kami yang belajar di kawasan ini.
“Kejayaan Mohammad Fauzi pasti akan menyuntik semangat belajar kepada anak muda terutamanya pelajar di sekolah kawasan ini untuk mengikuti jejak langkah Mohammad Fauzi. Penduduk kampung di kawasan ini mengucapkan tahniah kepadanya.
“Program hari ini mungkin hadiah beliau kepada penduduk kampung ini sebagai mengenang kampungnya yang umpama tempat jatuh lagi dikenang. Program ini pasti tidak dapat dilupakan oleh penduduk di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, jika sekolah lain mampu melahirkan cendekiawan atau pemimpin yang hebat kini SK Bukit Tinggi juga mampu mendabik dada kerana sekolah itu sudah melahirkan seorang Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.
Pada program itu lebih 20 agensi kerajaan dan swasta di Kedah terlibat menjayakan program berkenaan.
Program Santuni Madani merupakan satu kaedah meningkatkan potensi sesebuah kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung tersebut.
Ianya telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap pemimpin di negara ini termasuk Perdana Menteri dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.
Hal ini sejajar dengan penegasan beliau dalam ikrarnya, ‘no one left behind’, – Kerajaan Madani sentiasa komited membela nasib semua anak bangsa termasuk yang berada di luar bandar.




