
PUTRAJAYA – Meraikan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukanlah lambang Malaysia tunduk kepada kuasa besar, sebaliknya mencerminkan kematangan, adab dan kebijaksanaan negara mengurus hubungan diplomasi bersama pemimpin dunia.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dasar yang dipamerkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh saluran komunikasi dan memperjuangkan kepentingan negara, bukan sokongan terhadap dasar luar AS.
“Malaysia, seperti negara lain, berpegang kepada prinsip menghormati tetamu dan mematuhi protokol rasmi apabila menerima kunjungan pemimpin luar. Malah, pendekatan ini juga diamalkan oleh ramai pemimpin dunia.
“Sebagai contoh, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyambut rasmi lawatan Anwar di Istana Bogor sebagai tanda persahabatan serantau, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menerima pemimpin Malaysia dengan penuh hormat, manakala Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS, Joe Biden sebelum ini turut meraikan pemimpin Malaysia secara rasmi.
“Amalan ini membuktikan bahawa meraikan tetamu asing adalah satu bentuk penghormatan dan saluran diplomasi penting untuk mengukuhkan kerjasama serta memperjuangkan kepentingan negara dengan cara yang beradab dan berhemah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan sambutan yang dianggap ‘berlebihan’ terhadap ketibaan Trump ke Malaysia sebagai tindakan yang ibarat mencurah garam ke luka penduduk Gaza.

Kata Takiyuddin, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia sepatutnya mengekalkan prinsip memperjuangkan keadilan dan kebebasan rakyat Palestin, bukannya menonjolkan imej keterlaluan ketika menerima pemimpin kuasa besar dunia itu.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin menjelaskan, kritikan Pas terhadap bentuk sambutan yang dianggap ‘berlebih-lebihan’ mungkin berpunca daripada keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin, namun pandangan itu kurang menepati kerangka diplomasi global.
Menurutnya, kehadiran Trump ke Malaysia sepatutnya dilihat sebagai peluang berharga untuk Malaysia menyampaikan mesej jelas mengenai isu Gaza secara langsung kepada wakil tertinggi Amerika Syarikat.
“Pendekatan diplomasi beradab seperti ini jauh lebih efektif berbanding reaksi emosi atau tindakan simbolik yang mungkin menjejaskan imej Malaysia sebagai negara sederhana, matang dan berprinsip.
“Kenyataan pembangkang memperlihatkan percanggahan antara idealisme politik dan realiti diplomasi antarabangsa. Pas menegaskan bahawa lawatan Trump perlu dilihat dalam konteks hubungan ekonomi, diplomatik dan geostrategik negara.
“Di samping tidak mengetepikan pendirian Malaysia terhadap isu keadilan dan kebebasan, khususnya berkaitan Palestin namun parti itu mengkritik sambutan yang dianggap berlebih-lebihan terhadap Trump dan menyifatkannya seolah-olah mencurah garam ke luka rakyat Gaza.
“Pendekatan yang bercampur ini menimbulkan persoalan sama ada Pas benar-benar memahami keseimbangan antara prinsip moral dan keperluan diplomasi dalam konteks hubungan antarabangsa masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, kenyataan Pas menyeru agar hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS dibina atas asas keadilan dan saling menghormati adalah wajar, namun mesej itu menjadi kabur apabila disertai kritikan terhadap amalan diplomatik.
“Kebijaksanaan politik pada era globalisasi tidak diukur melalui keupayaan menolak semata-mata, tetapi melalui keupayaan memanfaatkan diplomasi untuk memperjuangkan keadilan dan kepentingan negara dengan cara yang berhemah,” katanya.
Tambah beliau, walaupun keprihatinan Pas terhadap isu Palestin wajar dihargai, pendekatan Perdana Menteri dilihat lebih seimbang apabila meraikan tetamu dengan penuh adab sambil menggunakan ruang tersebut untuk menyuarakan keprihatinan terhadap Gaza.
“Walaupun keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin amat dihormati, kritikan terhadap cara Malaysia meraikan tetamu asing menunjukkan kekeliruan antara prinsip moral dan adab kenegaraan.
“Malaysia dihormati di pentas dunia kerana keupayaan mengekalkan prinsip keadilan dan kemanusiaan tanpa mengetepikan adab kenegaraan. Inilah keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam diplomasi antarabangsa,” ujarnya.





