Sabarlah… selepas pahit digagahi, kemanisan pasti dirasai rakyat

AWAL Muharram hadir bukan sekadar menandakan masuknya tahun baharu Hijrah. Ia juga membawa pesan yang mendalam tentang perpindahan, pengorbanan dan keberanian meninggalkan yang selesa demi sesuatu yang lebih bermakna.

Sempena menyambut Awal Muharram 1447H ini, penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, Malaysia berada dalam satu fasa yang memerlukan hijrah besar-besaran, ia bukan sahaja hijrah dalam bentuk fizikal, tetapi hijrah dari sudut pemikiran rakyat.

Tegasnya, rakyat sedang melihat satu anjakan cara bagaimana negara diurus, daripada pendekatan populis kepada dasar berasaskan realiti seperti yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani ketika ini. Namun perubahan ini tidak mudah ditelan, lebih-lebih lagi dalam keadaan hidup yang semakin mencabar.

“Awal Muharram kembali lagi. Umat Islam menyambutnya dengan doa, azam, dan harapan baharu. Tapi saya tertanya, dalam semua doa itu, adakah kita sedar bahawa hijrah sebenar bukan berlaku pada kalendar, tapi dalam kepala kita sendiri?

“Saya perhatikan, ada segelintir puak yang penuh dengan kemarahan sedang menghasut rakyat. Menghasut rakyat membenci apa sahaja yang dilakukan Perdana Menteri untuk kebaikan rakyat dan negara. Tapi yang peliknya, segala kebencian itu tumpah terus kepada Perdana Menteri, seolah-olah beliau seorang diri pencetus segala kepedihan yang kita warisi sejak zaman pentadbiran dulu.

“Mungkin kerana beliau yang sedang memegang stereng sekarang. Tapi kita terlupa bahawa kenderaan yang dipandunya ini sudah lama rosak. Minyak bocor. Enjin lama. Sistem brek pun tak tentu arah. Tapi bila beliau tekan brek, kita marah. Bila dia tukar haluan, kita bising. Mungkin kita lebih suka dia tekan minyak dan langgar terus.

“Kita lupa, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewarisi negara yang tenat, malah mungkin antara yang paling parah dalam sejarah moden. Hutang negara mencecah lebih RM1.5 trilion. Subsidi bocor bertahun-tahun. Dasar ekonomi tidak mampan. Negara disuap dengan pendekatan ‘gula-gula’ yang memberi kesan segera tapi membunuh dalam diam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, rakyat perlu berhijrah, bukan hanya berpindah tempat sebaliknya berpindah cara berfikir dan bertindak yang perlu disertai dengan solidariti bersama kepimpinan yang sedang cuba menyelamatkan negara, walaupun langkah itu pahit, sukar dan tidak popular.

“Malaysia sedang berada dalam titik genting yang berdepan krisis struktur negara. Ekonomi negara selama ini bergantung pada dasar populis iaitu subsidi besar-besaran, bantuan segera, ‘feel good policies’ yang menyenangkan rakyat tetapi melemahkan daya saing negara. Sekarang, kita menuai hasil daripada semua pendekatan lama itu – dan hasilnya tidak manis.

“Masalah utama hari ini bukan Anwar Ibrahim. Masalahnya ialah kita terpaksa berdepan realiti buat kali pertama dengan jujur. Realiti bahawa ekonomi tidak boleh terus bergantung pada subsidi bocor. Realiti bahawa hutang negara tidak akan selesai dengan slogan. Realiti bahawa penstrukturan memerlukan pengorbanan.

“Dalam keadaan inilah, solidariti rakyat menjadi syarat utama kejayaan reformasi. PMX boleh merancang dasar terbaik, boleh menarik pelaburan berbilion, boleh menyusun semula kewangan awam, tetapi kalau rakyat menolak setiap langkah kerana tidak selesa, maka perubahan itu akan lumpuh sebelum bermula,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, perjuangan membina negara bukanlah perjuangan Perdana Menteri seorang diri, sebaliknya ia menuntut rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama kepimpinan Kerajaan MADANI dalam satu bahtera.

“Ini bukan perjuangan PMX seorang. Beliau hanya nakhoda. Tetapi kapal negara ini perlukan semua anak kapalnya bekerjasama, memahami arah tuju, dan bersabar dalam pelayaran yang bergelora.

“Kerana perubahan sebenar memang menyakitkan pada awalnya. Lihat mana-mana negara yang berjaya. Korea Selatan, Jerman pasca perang, Singapura. Mereka semua melalui fasa getir. Kenaikan kos, pemotongan bantuan, reformasi sistem. Tetapi rakyat mereka tabah, kerana mereka percaya pada pelan jangka panjang.

“Jika kita terus membantah ubat yang pahit, kita akan kembali memilih penyakit yang manis. Kita akan kembali memilih pemimpin yang hanya tahu menabur, tetapi tidak membina. Kita akan ulang sejarah, dan negara akan terus tenat, generasi demi generasi,” katanya.

Justeru, Azhar menegaskan, rakyat perlu bijak dalam menilai kerajaan bukan sekadar daripada apa yang tular di TikTok atau Facebook, tetapi melihat kepada fakta dan angka.

“Pelaburan asing meningkat, inflasi terkawal, ringgit stabil, dan reformasi dasar sedang berjalan dan semua ini bukti bahawa adalah usaha Kerajaan MADANI yang sebenar.

“Rakyat perlu berhijrah dari sikap cepat terpengaruh kepada sikap mahu memahami. Hijrah Dari Ketakutan Kepada Keberanian. PMX bukan penyebab masalah. Beliau adalah pemimpin yang memilih jalan sukar untuk memulihkan luka lama. Maka marilah kita berhijrah bukan hanya menyambut 1 Muharram, tetapi menyambut cabaran Malaysia baharu.

“PMX sendiri pun sedang melalui hijrah peribadi, dari tokoh reformasi jalanan, kini memikul amanah sebagai ketua negara. Tetapi beliau kekal dengan prinsip berani tidak popular demi membuat keputusan yang betul. Itu keberanian yang rakyat juga perlu miliki iaitu berani menyokong usaha yang tidak popular, tetapi perlu demi kelangsungan masa depan anak cucu.

“Lalu apabila PMX cuba melakukan pembetulan, dengan menyasar subsidi, menyusun semula bantuan, menstruktur semula fiskal negara, kita pula terkejut. Kita rasa seolah-olah dizalimi, padahal itulah ubat yang pahit tetapi perlu. Bersabarlah kerana detik manis pasti muncul selepas pahit digagahi,” katanya.

Related Posts

Krisis Asia Barat: Kerajaan MADANI kekal lindungi rakyat, stabilkan ekonomi

Oleh: Nazirul Haziq, Tengku Majid, Hafiq Hassan, Mohamad Fikri & Helda Julie MELAKA – Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus bertindak proaktif dalam melindungi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar: Negarawan dari rakyat, kepada rakyat

Anwar: Negarawan dari rakyat, kepada rakyat

Krisis Asia Barat: Kerajaan MADANI kekal lindungi rakyat, stabilkan ekonomi

Krisis Asia Barat: Kerajaan MADANI kekal lindungi rakyat, stabilkan ekonomi

Latihan ATM, agensi awam kecemasan perlu diperkasa secara holistik

Latihan ATM, agensi awam kecemasan perlu diperkasa secara holistik

Penduduk luar bandar mahu penyelesaian segera masalah jalan di kawasan pedalaman

Penduduk luar bandar mahu penyelesaian segera masalah jalan di kawasan pedalaman

Masyarakat, bomba perlu bersatu cegah kebakaran tanah gambut

Masyarakat, bomba perlu bersatu cegah kebakaran tanah gambut

Tembakan dilepaskan dalam majlis dihadiri Trump, isteri

Tembakan dilepaskan dalam majlis dihadiri Trump, isteri