
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang mula dicetuskan sejak 52 tahun lalu, mencipta sejarah dalam industri media Malaysia apabila diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU yang ditubuhkan bagi menetapkan dan mengawal selia standard dan tatalaku profesional pengamal media dan pengamal media bebas itu mendapat sokongan majoriti daripada blok kerajaan dan pembangkang selepas ia dibahas oleh 18 ahli Parlimen hari ini.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu dan bacaan kali kedua hari ini.
Antara objektifnya industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus serta menjaga kepentingan media di Malaysia.
Cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaraskan urus tadbir industri media di Malaysia itu telah dicetuskan sejak tahun 1973 oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Datuk Hussein.
Namun, beliau berkata, penubuhan MMM hanya dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan diluluskan pada 6 Disember 2019, sebelum mesyuarat kick-off penubuhan majlis itu diadakan pada 16 Januari 2020, dipengerusikan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, hari ini, Nie Ching berkata, penubuhan MMM 2024 itu adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Madani untuk menjamin kebebasan media bagi memastikan masyarakat umum mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
Katanya, melalui penubuhan MMM 2024, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.








