
RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dijadikan sebagai tonggak utama dalam usaha negara menangani pelbagai cabaran ekonomi semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, antara cabaran utama yang dihadapi termasuklah jurang pembangunan dan pendapatan yang ketara, kekangan ruang fiskal serta kelembapan dalam peralihan struktur ekonomi negara.
Jelas beliau, dokumen dasar tersebut akan menjadi salah satu teras utama dalam pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI, dan dijadualkan untuk dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
“Negara perlu lebih berdaya tahan dalam mendepani risiko dan ketidaktentuan ekonomi global, di samping mempercepatkan peralihan struktur dan merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan sesi perbincangan bersama pegawai kanan kerajaan bagi meneliti penyediaan akhir RMK13 yang merangkumi tempoh 2026 hingga 2030.
Anwar memaklumkan bahawa penyediaan dokumen tersebut telah bermula sejak pertengahan tahun lalu dan merupakan hasil kerjasama berpasukan yang menyeluruh.
Tambah beliau, perancangan dan strategi yang digariskan dalam RMK13 turut mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat madani (CSO), serta orang awam.








