
KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyifatkan peruntukan sebanyak RM120 juta dalam Belanjawan 2026 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan modal insan negara, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, pengumuman pendidikan percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada keluarga berpendapatan rendah mulai tahun hadapan mencerminkan hasrat kerajaan untuk memperkukuh mobiliti sosial rakyat.
Menurutnya, langkah tersebut memberi peluang lebih luas kepada anak muda daripada golongan B40 untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.
“Di Unimap, hampir 70 peratus pelajar datang daripada golongan B40. Jadi, inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga tetapi juga menjamin masa depan mereka,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, peruntukan itu akan memberi impak besar kepada peningkatan kualiti graduan dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan industri.
Zaliman berkata, komitmen kerajaan ini memperkukuh peranan universiti awam sebagai pemangkin pembangunan insan dan ekonomi negara.
Katanya lagi, pelaksanaan dasar pendidikan percuma ini akan digerakkan bersama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Beliau turut menegaskan bahawa Unimap sedia memperkukuh sistem sokongan dalaman melalui pelbagai inisiatif kebajikan seperti Program Ziarah Kasih, Tabung Prihatin Pelajar, Bantuan Makanan Asasi dan Program Dapur Siswa Unimap.
Inisiatif tersebut, katanya, membantu pelajar yang berdepan kesukaran kewangan agar tidak tercicir daripada meneruskan pengajian.
“Unimap akan terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang keluarga, dapat menikmati peluang pendidikan berkualiti demi kemajuan negara,” ujarnya.




