
KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan momentum pengukuhan apabila dibuka lebih tinggi untuk hari keempat berturut-turut hari ini, disokong pendekatan pragmatik kerajaan dalam menangani subsidi bahan api di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik Asia Barat.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9855/4.0050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada 3.9920/3.9955 ketika ditutup semalam.
Perkembangan itu menyusul pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memaklumkan pelarasan sementara had pembelian bulanan BUDI95 kepada 200 liter berbanding 300 liter sebelum ini, berkuat kuasa 1 April.
Langkah itu diambil susulan konflik berterusan di Asia Barat, namun majoriti rakyat dijangka tidak terjejas kerana penggunaan purata hanya sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus pengguna berada di bawah paras 200 liter.
Dalam perutusan sama, Anwar turut memaklumkan Iran telah memberi kebenaran kepada kapal tangki minyak Malaysia untuk melalui Selat Hormuz.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pendekatan berkenaan mencerminkan usaha kerajaan mengekalkan disiplin fiskal sambil mengurangkan tekanan terhadap isi rumah.
“Ini seharusnya positif untuk ringgit kerana kerajaan peka terhadap kesan rantaian daripada perang di Iran dan memberikan respons tepat pada masanya,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata keputusan Presiden Donald Trump melanjutkan tempoh 10 hari bagi kemungkinan serangan terhadap infrastruktur tenaga Iran sedikit meredakan permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat.
“Lanjutan itu bertindak lebih sebagai pelepasan tekanan berbanding perubahan arah sebenar. Namun begitu, pedagang pasaran berkemungkinan mengambil pendirian defensif dengan cenderung memegang dolar AS menjelang hujung minggu, memandangkan risiko peningkatan konflik masih wujud selepas tempoh itu tamat,” katanya.
Ringgit turut mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang utama lain.
Berbanding yen Jepun, ringgit meningkat kepada 2.4951/2.5077 daripada 2.5025/2.5049, manakala berbanding pound Britain ia mengukuh kepada 5.3143/5.3403 daripada 5.3301/5.3348.
Mata wang tempatan turut naik berbanding euro kepada 4.5969/4.6194 daripada 4.6140/4.6180 dan dalam kalangan mata wang ASEAN, ringgit juga diniagakan lebih tinggi.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/3.1148 daripada 3.1102/3.1132, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.0868/12.1566 daripada 12.1529/12.1695, serta naik berbanding rupiah Indonesia kepada 235.7/237.0 daripada 236.1/236.4.
Ringgit turut mencatat kenaikan berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.65 daripada 6.62/6.63.



