
PAPAR – Perlindungan hak pembeli hartanah akan menjadi antara fokus utama dalam pelaksanaan Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi yang digariskan dalam Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17), Dewan Undangan (DU) Sabah.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu dirangka bagi menangani kelemahan perundangan sedia ada serta memperkukuh tanggungjawab pemaju dalam melindungi kepentingan pembeli, sama ada bagi hartanah kediaman mahupun komersial.
“Kerajaan GRS komited memperkasa perlindungan hak pembeli melalui reformasi undang-undang berkaitan hartanah.
“Kajian terhadap kerangka perundangan telah dimulakan dan reformasi ini akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun 2026,” katanya dalam sidang media di Pejabat DU Kawang, di sini, pada Ahad.
Jelasnya, antara tindakan utama yang telah dikenal pasti ialah pindaan kepada Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972, sama ada melalui pemansuhan dan penggubalan semula enakmen baharu, serta pengenalan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025.
“Reformasi ini penting bagi menyesuaikan undang-undang dengan perkembangan sektor hartanah negeri, termasuk pembangunan strata yang semakin meluas di Sabah.
“Pelaksanaan reformasi itu turut bertujuan mempercepatkan pengeluaran hakmilik, memperkukuh pembentukan perbadanan pengurusan, menangani isu penyelenggaraan bangunan serta menubuhkan Pesuruhjaya Bangunan ‘Building Commissioner’.
“Langkah ini bukan sahaja melindungi pembeli tetapi juga mewujudkan ekosistem pembangunan yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya,
Dalam pada itu, antara kes yang mencerminkan keperluan reformasi undang-undang hartanah ialah isu pembeli Projek Century Plaza di Papar yang masih belum menerima geran individu sejak hampir dua dekad lalu.
Projek Fasa Pertama yang melibatkan 32 unit lot kedai itu telah siap dengan sijil menduduki (OC) dikeluarkan pada 4 September 2006, namun hak milik individu masih belum diserahkan kepada pembeli.
“Sekumpulan pembeli tampil memohon bantuan melalui Pejabat Ahli Parlimen Papar selepas usaha mereka berhubung dengan pemaju, PMSB Ventures Sdn. Bhd., tidak mendapat sebarang respons.
“Daripada 24 pembeli yang membuat aduan, 19 orang telah menyelesaikan pinjaman bank sepenuhnya manakala dua pembeli asal telah meninggal dunia.
“Dalam perjanjian jual beli, tanggungjawab mengurus pecah bahagian geran dan permohonan geran individu terletak pada pemaju, namun ia belum dilaksanakan,” jelasnya.
Tambah Armizan, pihak pemaju tidak hadir dalam perjumpaan bersama wakil pembeli dan agensi yang terlibat pada 27 Oktober lalu.
“Disebabkan kegagalan itu, saya telah meminta firma guaman Tetuan Zainal & Associates mewakili 24 pembeli untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya pemaju tidak memberikan respon dalam tempoh 14 hari,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Armizan menggesa pihak pemaju dan Majlis Daerah Papar selaku pemilik tanah agar segera memaklumkan perkembangan kepada pembeli serta melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana termaktub dalam perjanjian jual beli.





