
KANGAR – Muzium perlu menjadi jambatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum menerusi dialog antara generasi dan budaya di bawah satu payung identiti nasional.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, institusi itu tidak seharusnya dilihat sekadar tempat menyimpan khazanah lama, sebaliknya medan yang menghidupkan nilai bersama melalui sejarah dan warisan bangsa.
“Muzium harus tampil sebagai platform dialog antara generasi dan budaya, yang mempertemukan kepelbagaian pengalaman rakyat Malaysia di bawah satu payung identiti nasional.
“Peranan ini amat penting bagi memastikan sejarah bukan sekadar dikenang, tetapi dihayati dan dijadikan panduan dalam membina masa depan yang lebih bersatu dan progresif,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Muzium Kota Kayang, hari ini.

Menurutnya, usaha tersebut seiring aspirasi Kementerian Perpaduan Negara untuk membina negara bangsa melalui pemahaman terhadap sejarah, identiti nasional dan jati diri.
“Fiesta Uniti ini adalah simbol bahawa warisan dan perpaduan tidak boleh dipisahkan, kedua-duanya membentuk roh Malaysia yang sebenar,” katanya lagi.
Majlis turut menyaksikan perasmian Rumah Hijau, Rumah Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang dipindahkan dari Arau ke Muzium Kota Kayang sebagai simbol warisan diraja negeri.
Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang yang berlangsung dua hari sehingga esok menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran interaktif, persembahan tarian rakyat, Bicara @ Muzium, demonstrasi seni mempertahankan diri, pameran motor klasik serta jualan ASEAN Market.





