Raya tanpa suami, Salmah setia jaga ipar di usia senja

KOTA KINABALU – Di saat ramai warga emas mengharapkan sokongan anak-anak atau saudara terdekat, seorang wanita warga emas memilih jalan berbeza apabila setia menjaga iparnya yang uzur, meskipun hidupnya sendiri tidak lagi bertemankan suami.

Bagi Salmah, 70, kehidupannya kini diisi dengan rutin menjaga ipar yang dianggap seperti darah daging sendiri, selepas suaminya meninggal dunia pada Disember 2009 akibat sakit.

“Sekarang saya tinggal dengan ipar dan cucu. Anak-anak ada lima orang, semuanya bekerja. Bila perayaan, mereka akan datang,” katanya ketika ditemui wartawan TMP baru-baru ini.

Menurutnya, tanggungjawab menjaga ipar itu digalas atas dasar kasih dan amanah yang pernah dititipkan oleh arwah ibu iparnya suatu ketika dahulu.

“Saya sangat kesian dengan dia. Dia sudah tiada mama, tiada bapa. Dia menumpang dengan saya, jadi apa yang saya makan, dia makanlah,” ujarnya.

Amanah yang tidak pernah dilepaskan

Salmah berkata, walaupun iparnya masih mampu bergerak sendiri, keperluan harian seperti makan dan kebajikan tetap di bawah tanggungannya.

Katanya, cabaran menjaga ipar bukanlah mudah, namun dilakukan sekadar yang termampu.

“Menjaga dia, begitulah ikut mana yang mampu. Saya masak untuk dia, jaga makan dia,” katanya.

Tambahnya, adik-beradik iparnya ada di Labuan, namun jarang datang menziarah kecuali sekali-sekala, termasuk ketika Hari Raya.

“Setahun sekali begitu mereka datang. Selebihnya saya yang tanggung semua perbelanjaan guna pencen arwah suami,” katanya.

Raya tetap disambut, walau hati pernah diuji

Berkongsi tentang Aidilfitri, Salmah mengakui suasana tidak lagi sama sejak kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh yang singkat.

Katanya, anak lelakinya meninggal dunia akibat darah tinggi pada usia sekitar 30 tahun, diikuti pemergian suami kira-kira tiga bulan kemudian.

“Memang sedih, dua-dua pergi dalam masa dekat. Sampai sekarang kalau raya, tetap ingat,” katanya.

Walaupun begitu, dia tetap membuat persiapan sederhana setiap tahun dengan bantuan anak-anak.

“Mereka ada bantu juga, bawa kuih, beli barang. Saya sediakan apa yang termampu,” katanya.

Kasih bukan sekadar pertalian darah

Menurut Salmah, hubungan dengan iparnya bukan sekadar tinggal serumah, tetapi telah terjalin sejak sekian lama, termasuk sebelum ipar itu jatuh sakit sekitar dua tahun lalu.

Katanya, mereka sudah lama hidup bersama sebagai satu keluarga, saling membantu dalam kehidupan harian.

“Dulu dia sihat, dia juga tolong saya buat kuih raya bila orang tempah. Kami memang sudah lama bersama,” katanya.

Namun jauh di sudut hati, Salmah mengakui ada kebimbangan tentang masa depan iparnya sekiranya dia tiada lagi.

“Itu yang saya risau juga kalau saya tiada, macam mana dia nanti,” katanya.

Pengorbanan senyap seorang wanita

Kisah Salmah menjadi gambaran bahawa kasih sayang tidak semestinya datang daripada hubungan darah, tetapi boleh lahir daripada keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang mendalam.

Di usia emas, ketika ramai memilih untuk berehat, Salmah terus menggalas amanah menjaga insan lain – satu pengorbanan senyap yang jarang dipandang, namun besar nilainya.

Related Posts

Klinik Kesihatan Nanga Atoi RM5.6 juta siap, perkasa kesihatan penduduk luar bandar

KRIAN – Penduduk luar bandar di kawasan Nanga Atoi, Awik kini boleh menarik nafas lega apabila bakal menikmati kemudahan perubatan yang lebih baik susulan siapnya projek pembinaan Klinik Kesihatan Nanga…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lencongan sementara di Jalan RPR Batu Biah bermula 2 Mei

LIMBANG – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan RPR Batu Biah (RAP 62N) dimaklumkan akan berlaku lencongan jalan sementara bermula 2 hingga 4 Mei ini. Menurut notis yang dikeluarkan, penutupan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Arsenal ke separuh akhir UCL selepas singkir Sporting

Arsenal ke separuh akhir UCL selepas singkir Sporting

Klinik Kesihatan Nanga Atoi RM5.6 juta siap, perkasa kesihatan penduduk luar bandar

Klinik Kesihatan Nanga Atoi RM5.6 juta siap, perkasa kesihatan penduduk luar bandar

Bayern singkir Real Madrid dari saingan UCL

Bayern singkir Real Madrid dari saingan UCL

Lencongan sementara di Jalan RPR Batu Biah bermula 2 Mei

Lencongan sementara di Jalan RPR Batu Biah bermula 2 Mei

JTS Mukah agih RM50,000 bantuan CSR

JTS Mukah agih RM50,000 bantuan CSR

80 warga asing didakwa tipu, menyamar polis China

80 warga asing didakwa tipu, menyamar polis China