
RAKYAT Malaysia seharusnya memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangunkan semula Gaza melalui Projek Bandar Wakaf yang dijangka akan bermula selepas Ramadan nanti.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, usaha tersebut merupakan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.
Katanya, langkah itu menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa, terutamanya apabila projek ini bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif.
“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada dana senderian dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.
“Ia adalah cerminan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sekarang bukan lagi di fasa sekadar menggantung bendera Palestin sebagai tanda solidariti, namun inilah masanya untuk membantu saudara seIslam kita di sana yang kini berada di fasa pemulihan.
“Saya ingin mengingatkan agar kita tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh PMX sehingga memperlekehkan usaha murni ini.
“Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat. Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia,” ujarnya.
Tambahnya, Projek Bandar Wakaf adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia.
“Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Pangsapuri Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin, tetapi juga harapan baru untuk masa depan mereka.
“Saya menyeru semua pihak, sama ada rakyat biasa, sektor swasta, atau NGO, untuk bersama-sama menyokong projek ini. Bantulah usaha ini dengan keyakinan bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima,” katanya.
Projek Bandar Wakaf Malaysia yang menjadi simbolik kesepakatan rakyat dan usaha nasional terdiri daripada beberapa komponen utama termasuk 14 blok pangsapuri wakaf mewakili semua negeri di Malaysia, Masjid Berkembar Shah Alam, menara tangki air dan pangsapuri Selangor yang diwakafkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Selain itu, pelan projek tersebut turut merangkumi Sekolah Malaysia yang diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) diketuai oleh Tuan Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan Yayasan Wakaf Malaysia turut mewakafkan sebuah pangsapuri dan ‘Malaysia Central Kitchen’ atau dapur pusat Malaysia yang akan menjadi pusat makanan komuniti menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza, tidak termasuk 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, hospital dan taman rekreasi serta kemudahan komuniti yang lain.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pengumuman gencatan senjata di Gaza harus disusuli dengan perancangan pemulihan wilayah itu.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
“Usaha ini akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat kita,” katanya.
Susulan itu, ada sesetengah pihak menyifatkan usaha Perdana Menteri itu seolah-olah menganaktirikan rakyat sendiri yang dakwanya masih banyak ketinggalan dari segi pendidikan dan kesihatan.