KUANTAN – Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan RM2 juta bagi menjayakan program Pahang Lead, tahun ini.
Peruntukan itu meningkat 100 peratus berbanding tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah peruntukan berkenaan akan diuruskan Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Akademi Kenegaraan.
“Tahun lalu, kita menyediakan RM1 juta dan hasilnya sangat membanggakan apabila 55 pelajar sekolah menengah terpilih, menunjukkan kualiti kepimpinan yang sangat baik.
“Jadi, tahun ini selepas berbincang dengan rakan-rakan Exco dan melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan Pahang, kami membuat keputusan menambahkan peruntukan untuk Pahang Lead 2025 kepada RM2 juta.
“Saya percaya program ini bukan sahaja dapat menghasilkan bakal pemimpin masa depan untuk negeri Pahang, bahkan mereka juga mungkin akan menjadi pemimpin utama yang penting di peringkat Persekutuan,” katanya ketika berucap melancarkan program Pahang Lead 2025 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.
Turut hadir Exco Kanan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Wan Rosdy berkata, untuk Pahang Lead tahun ini, kerajaan negeri dan JPN Pahang mensasarkan 66 pelajar yang berkualiti tinggi dihasilkan.
Katanya, proses saringan Tier 1 hingga Tier 4 membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira 200,000 pelajar sekolah menengah di Pahang, sudah dilakukan pihak pengendali program berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan, peruntukan bagi program Pahang Lead adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu rakyat di Pahang.
Jelasnya, banyak lagi bantuan disediakan kepada rakyat Pahang merentasi tahap umur serta golongan B40.
“Semua inisiatif ini membabitkan peruntukan lebih RM50 juta dan ia adalah tanda penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Pahang.
“Menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang), kita memberi sumbangan kepada semua… daripada bayi yang baru lahir, warga emas dan mereka yang meninggal dunia.
“Jemaah haji dari Pahang turut menerima sumbangan RM750 setiap seorang sebagai wang saku mereka sepanjang menunaikan ibadat itu,” katanya.



