TAPAH – Barisan Nasional (BN) menggiatkan usaha menawan sokongan pengundi kelabu dan hitam dalam tempoh pecutan akhir sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Sabtu ini.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang mesra disapa Ustaz Yusri berkata, partinya memiliki strategi tersendiri bagi mendapatkan kembali sokongan pengundi atas pagar dan menyokong pihak lawan sebelum ini.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak bersikap prejudis kepada golongan terbabit, selain memaklumkan menerima maklum balas positif sepanjang mengadakan pertemuan dengan mereka.
“Memang agak sukar untuk ‘menembusi’ golongan ini, tetapi ia bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha mendekati mereka. Saya berharap mereka memberi ruang dan peluang kepada saya.
“Barangkali ada ramai rakan saya yang tergolong dalam kategori berkenaan dan kali ini insya-Allah mereka cuba beri peluang kepada saya untuk tempoh berbaki sebelum penggal ini tamat,” katanya ketika ditemui ketika walkabout di PDM Ayer Kuning Selatan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, secara umum, Ustaz Yusri berkata, jentera BN mendekati mereka bagi menerangkan visi, misi selain tawaran yang boleh diberikan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan.
“Ada yang kata, kali ini kita boleh bagi (undi kepada BN). Mereka pilih calon BN sebab apa yang penting bagi penduduk adalah pembangunan di kawasan DUN Ayer Kuning,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Yusri memaklumkan pihaknya menerapkan nilai politik matang ketika bertemu pengundi kelabu dan hitam dan tidak mengikut rentak diterapkan pihak lawan ketika menyantuni golongan berkenaan.
“Saya perlu menunjukkan elemen penerimaan masyarakat pelbagai kaum kerana jika dipilih, saya akan mengurus masyarakat majmuk pelbagai latar belakang di Ayer Kuning.
“Sekiranya mahu menjadi pemimpin masyarakat pelbagai kaum, kita kena faham perkara ini (sentimen kepelbagaian kaum dan agama) dan ini adalah resipi penting untuk mewujudkan kestabilan,” katanya.
PRK Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.




