
KUCHING – Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) dan International Education Legacy Foundation (IELF) berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bagi mempertingkat kesedaran pengguna serta pendidikan anti-scam di negeri ini.
Delegasi PPS dan IELF yang diketuai oleh Dr. Wynson Ong Teck Ping, selaku Pengerusi kedua-dua pertubuhan, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat KPDN Sarawak semalam dan disambut mesra oleh Pengarah KPDN Sarawak bersama barisan pengurusan kanan kementerian.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada isu-isu utama pengguna di Sarawak, termasuk peningkatan kes penipuan dalam talian, pengurusan aduan pengguna, serta pendidikan kepenggunaan melalui aktiviti lapangan dan kempen kesedaran awam.
Menurut Dr. Wynson, kunjungan itu membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh antara pertubuhan masyarakat sivil dengan pihak kerajaan dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan pengguna.
“Kami amat berterima kasih atas sambutan dan pandangan yang dikongsikan oleh Pengarah KPDN Sarawak. PPS akan terus bekerjasama rapat dengan KPDN untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap hak dan tanggungjawab pengguna dalam pasaran yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau menegaskan, pendidikan pengguna dan pencegahan penipuan siber perlu dijalankan secara berterusan melalui ceramah, program komuniti dan penglibatan aktif generasi muda.
Dr. Wynson turut memaklumkan bahawa IELF akan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai tanggungjawab pengguna di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Kita mahu mendidik generasi muda agar menjadi penyampai mesej kesedaran pengguna dan anti-scam. Apabila pendidikan digabungkan dengan tindakan, barulah kuasa pengguna dapat digerakkan secara menyeluruh di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, PPS dan IELF merancang untuk menganjurkan ceramah kesedaran pengguna dan kempen anti-scam sempena Borneo International Consumer Expo yang dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun hadapan.

Kedua-dua organisasi tersebut turut merancang pelbagai aktiviti masyarakat dan kempen media sosial dengan tema seperti ‘Bijak Berbelanja, Waspada Penipuan’, ‘Be Buddy, No Bully’ dan ‘Borneo’s Star Talent’ bagi memperluas mesej kesedaran awam.
PPS yang berdaftar di bawah ROS aktif memperjuangkan hak pengguna melalui advokasi, pendidikan awam dan penyelesaian aduan, manakala IELF memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan nilai sivik dalam kalangan generasi muda melalui kerjasama rentas sektor.







