
SANDAKAN – Tinjauan terhadap aktiviti ternakan udang putih di Sabah menunjukkan potensi yang besar, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata syarikat-syarikat yang mengusahakan ternakan udang putih bukan sahaja memasarkan produk mereka di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Ini adalah contoh bagaimana sektor pertanian kita berpotensi untuk mengimbangi defisit dalam eksport dan import berkaitan makanan.
“Kita berpeluang untuk menjadi pengeluar pengeksport makanan termasuk udang dan ikan air tawar,” katanya dalam sidang media sejurus melakukan tinjauan bancian di Pusat Penternakan Udang Kertas dan Putih di Haiky Aquaculture, Batu 7, Sungai Obar dan Sungai Kayu di sini , pada Isnin.
Dalam tinjauan itu, beliau berkesempatan berbincang dengan pegawai-pegawai pertanian, perikanan dan persatuan setempat di Sandakan untuk memastikan data yang dikumpulkan semasa bancian adalah tepat dan komprehensif.
Katanya, ini penting bagi mengukur sektor pertanian secara menyeluruh termasuk pengusaha yang tidak berdaftar dengan agensi-agensi pertanian.
“Kami ingin memastikan tidak ada maklumat yang tercicir dan semua data yang diperoleh dapat digunakan untuk melaksanakan program penambahbaikan pertanian yang berkesan.
“Kita perlu melihat semua entiti pengusaha untuk memahami sumbangan mereka terhadap pengeluaran pertanian negara,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar sektor pertanian di Sabah dapat terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Sementara itu, menurut Mohd Uzir, Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak 7 Julai lalu kini sudah memasuki hari ke-93 pelaksanaannya.
“Banci Pertanian 2024 akan tamat dalam masa tiga hari lagi iaitu pada 10 Oktober ini dan akan terus memberi fokus dalam pengumpulan maklumat pengusaha pertanian.
“Sehingga hari ini, bagi negeri Sabah, sebanyak 98.2 peratus bancian telah dilaksanakan sementara bagi seluruh negara adalah sebanyak 96.4 peratus,” katanya.
Tambah beliau, selepas proses bancian itu tamat, pihaknya juga akan mengadakan ‘Mopping Up’ bersama agensi terlibat.
Pada masa yang sama, beliau percaya masih ada segelintir mereka yang terlibat masih belum dibanci sehingga ke saat akhir.
“Hasil daripada bancian itu akan dikemukakan pada tahun hadapan.
“Data yang diperoleh bertujuan memastikan tiada pihak akan tertinggal dalam dasar kerajaan yang dilaksanakan untuk sektor pertanian,” katanya lagi.






