
TAWAU – Polis mengesahkan video tular yang memperlihatkan seorang lelaki terpaksa diacukan pistol berikutan melarikan diri dari sekatan jalan raya yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad kira-kira pukul 10.30 pagi berhampiran sebuah sekolah di Jalan Utara.
“Saya mengesahkan satu laporan polis telah dibuat seorang anggota polis yang bertugas pada Ahad dan satu kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 telah dibuka.
“Seorang lelaki belum dipastikan warga asing atau memiliki surat beranak berumur 35 tahun itu telah ditangkap berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Jasmin, siasatan masih dijalankan dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan satu video berdurasi 14 saat memaparkan seorang anggota polis trafik mengejar dan mengacukan pistol kepada seorang lelaki.





