
KUCHING – Polis Sarawak akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan dadah di seluruh negeri menerusi gerak kerja harian di peringkat daerah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, arahan supaya semua daerah mengumpulkan laporan kejayaan operasi secara konsisten telah membantu mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap aktiviti berkaitan dadah.
Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan November di Kuching pada Rabu sambil menegaskan komitmen PDRM untuk menangani jenayah yang mengancam kesejahteraan awam.
1,031 anggota polis Sarawak dihantar bantu Pilihan Raya Negeri Sabah
Beliau berkata Kontinjen Polis Sarawak menghantar seramai 1,031 pegawai dan anggota bagi membantu kelancaran pilihan raya negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November ini. Sebahagian besar sudah berada di Sabah, manakala selebihnya berlepas menggunakan penerbangan komersial.
Beliau menegaskan semua anggota polis berada dalam keadaan siap siaga dan boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa mengikut peruntukan Seksyen 19 Akta Polis 1967.
Persiapan menghadapi banjir diperkukuh
Mengulas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, beliau berkata semua daerah serta agensi berkaitan telah diarahkan menyemak semula fungsi aset dan kelengkapan masing-masing. Polis memainkan peranan sebagai pengemudi operasi bencana peringkat negeri, manakala ketua polis daerah mengetuai operasi di peringkat daerah.
Beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan operasi bencana telah diadakan minggu lalu bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi taburan hujan tinggi dijangka berlaku pada Disember dan Januari.
Polis jejak sindiket penipuan, dadah dan gangsterisme di media sosial
Mohamad Zainal turut memaklumkan bahawa polis telah membuka beberapa fail siasatan membabitkan kumpulan tertentu di media sosial, termasuk mereka yang terbabit dalam kegiatan dadah, penipuan, pemerasan dan gangsterisme. Tindakan tegas akan diambil sebaik bukti mencukupi diperoleh.
Pendekatan baharu sekat judi dalam talian
Menyentuh isu judi dalam talian, beliau berkata PDRM sedang meneliti pendekatan lebih efektif melalui sekatan sistem, memandangkan kegiatan ini bergantung sepenuhnya kepada platform digital global.
Menurutnya, tindakan ini berpotensi lebih berkesan berbanding serbuan ke atas lokasi fizikal yang sukar dikaitkan dengan bukti perjudian.
Beliau turut menyokong usaha kerajaan mengemas kini undang-undang berkaitan perjudian agar selari dengan perkembangan semasa.
Judi tidak pernah mengayakan pemain
Mohamad Zainal mengingatkan masyarakat bahawa tabiat judi dan penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada jenayah lain kerana ketagihan mendorong individu mencari sumber kewangan segera.
Beliau menegaskan bahawa penganjur judi adalah pihak yang mengaut keuntungan, bukan pemain. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memerangi dua masalah sosial ini.





