
KUALA LUMPUR – Sembilan individu telah dirakam keterangan oleh polis berkaitan kes buli siber di media sosial TikTok yang melibatkan pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, rakaman keterangan sembilan individu ini adalah bagi membantu siasatan atas laporan yang dibuat oleh mangsa pada Rabu, sebelum ditemui meninggal dunia di kediamannya pada keesokan hari.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini sembilan saksi termasuk ahli keluarga mangsa sudah dirakam keterangan.
“Namun begitu, masih tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Satu lagi laporan dibuat terhadap dua akaun TikTok yang didakwa melemparkan fitnah serta ugutan terhadap A Rajeswary. Bagaimanapun, hasil semakan polis mendapati dua hantaran itu disyaki sudah dipadam oleh pemilik akaun TikTok berkenaan.
Ekoran itu, polis telah menahan seorang suspek wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan dan direman tiga hari sehingga esok. Polis juga dalam usaha untuk mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terbabit dalam kes ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).






